Jemaah Menteri sembah tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17

20 Julai 2024
KUALA LUMPUR: Bersempena dengan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, barisan Jemaah Menteri merafak sembah tahniah menzahirkan penghormatan dan sokongan penuh mereka terhadap Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Antaranya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah dalam hantaran di laman Facebook beliau.
“Merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sempena pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-17 pada 20 Julai 2024 Bersamaan 14 Muharam 1446H.
“Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala memberkati pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,” tulis beliau.
Turut merafak sembah tahniah ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut mendoakan agar Seri Paduka Baginda berdua sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan serta memacu Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan maju.
“Semoga Duli Tuanku kekal qarar bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan, dan kesejahteraan jua serta memerintah dengan adil dan saksama.
“Patik mendoakan agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpahi keberkatan,” katanya.
Beberapa menteri Kabinet turut membuat hantaran di laman media sosial masing-masing antaranya Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Turut merafak sembah tahniah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.
Istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 berlangsung di Balairung Seri, Istana Negara hari ini dihadiri ratusan tetamu termasuk Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Jemaah Menteri, komuniti diplomatik asing di negara ini dan pemimpin utama negara.
Turut berangkat hadir Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Raja Bahrain Sheikh Hamad bin Isa Al Khalifa.
Comments