Jenayah Dadah Daerah Kota Kinabalu Meningkat
- nabalunews
- Feb 9
- 1 min read

9 Februari 2026
KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu merekodkan peningkatan tangkapan melibatkan kes jenayah narkotik daripada 4,827 kes tahun 2024 kepada 4,896 bagi tempoh sama tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, peningkatan itu adalah hasil tindakan agresif polis dalam usaha membanteras aktiviti pengedaran serta penyalahgunaan dadah di sekitar bandar raya.
Katanya, kejayaan itu juga hasil operasi berterusan dengan pelaksanaan risikan, serbuan berfokus serta kerjasama pelbagai bahagian termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik.
“Bagi kes bekalan, pengedaran dan penagihan, kita catat peningkatan tangkapan sehingga 351 peratus. Ini hasil operasi lebih kerap dan menyeluruh di kawasan panas.
“Pada masa sama, sejumlah 122 kertas siasatan dilaksana mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya membabitkan pesalah berulang, sekali gus memberi amaran keras kepada individu yang terus terlibat dalam kegiatan sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pada Majlis Perhimpunan Bulanan, IPD Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Kasim berkata, usaha membanteras dadah kekal menjadi keutamaan pihaknya kerana percaya kejadian jenayah lain dikenalpasti berpunca daripada ketagihan bahan terlarang itu.
“Kajian kita dapati kebanyakan kes jenayah seperti mencuri besi, kabel, samun dan pecah rumah ada kaitan dengan penagih dadah yang mencari wang untuk mendapatkan bekalan.
“Bagi tempoh Januari 2026 sahaja, polis sudah merekodkan 465 kes dengan 496 tangkapan, menunjukkan momentum penguatkuasaan masih konsisten pada awal tahun.
“Operasi khas dan rondaan berkala digerakkan bagi mengekang aktiviti pengedaran di kawasan berisiko tinggi selain mematahkan rangkaian sindiket,” katanya.
Sehubungan itu, Kasim berkata, tindakan tegas tanpa kompromi akan diteruskan bagi memastikan Kota Kinabalu kekal selamat dan bebas daripada ancaman dadah.















Comments