top of page

Jenazah wanita meninggal dunia di Korea Selatan selamat tiba di Sabah

  • nabalunews
  • Dec 19, 2024
  • 2 min read

ree

19 Disember 2024


KOTA KINABALU : Sumbangan dan dana disalurkan oleh Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) akhirnya mencukupi untuk membawa pulang jenazah seorang wanita dari Papar yang meninggal dunia akibat sakit jantung di Korea Selatan.


Sebelum ini, usaha membawa pulang jenazah mendiang Olivia Richard, 46, dari Korea Selatan ke Sabah pada mulanya menghadapi kesukaran berikutan kos penerbangan mencecah RM30,000.


Jenazah mendiang Olivia tiba di MASkargo Kota Kinabalu hari ini, kira-kira 11 pagi dan disambut oleh ahli keluarga serta rakan rapat.


Harian Metro melaporkan jenazah dibawa ke Kampung Novoung, Papar sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Libagu.


Pada 7 Disember lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N27 Limbahau, Datuk Juil Nuatim menyerahkan sumbangan daripada kerajaan negeri Sabah melalui Yayasan Kebajikan Sabah kepada keluarga mendiang Olivia Richard Odou.


Sumbangan Yayasan Kebajikan Sabah sebanyak RM30,000 akan digunakan oleh keluarga mendiang untuk menampung kos pengurusan jenazah ke Sabah.


Turut hadir dalam program itu adalah

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Limbahau, Datuk Johnny Mositun, Pemaju Mukim Paul David dan Ketua Kampung, Kampung Novoung, Papar.


Sebelum ini Sinar Harian melaporkan kos

untuk membawa pulang jenazah Olivia dari Korea Selatan ke Sabah sudah mencukupi apabila ahli keluarga berjaya mengumpul wang sebanyak RM45,000.


Menurut adik mendiang, Dora, 44, dana untuk membawa pulang jenazah diperoleh menerusi sumbangan daripada Yayasan Kebajikan Sabah.


"Kami dimaklumkan, dana untuk membawa pulang jenazah mendiang akan ditanggung sepenuhnya oleh YKS manakala untuk kos bagi bil hospital dan sebagainya kami akan selesaikan dengan menggunakan wang yang diterima menerusi sumbangan orang awam dan juga Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.


"Jadi kami sekeluarga ingin menutup kutipan dana tersebut kerana telah mencukupi iaitu sekitar RM45,000 setakat ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.


Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Olivia meninggal dunia di kediamannya di Hwamok-ri, wilayah Gyeongsang Utara, pada 4 Disember lalu.


Jenazah Olivia ditempatkan di Hospital Andong Sungso selepas dibedah siasat dan kemudiannya dibawa pulang untuk disemadikan di kampung halaman mendiang di Kampung Novoung, Papar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page