Jepun dilanda tsunami, berikutan letusan gunung berapi di Tonga

17 Januari 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
TOKYO: Tsunami setinggi satu meter telah dilaporkan melanda beberapa kawasan pantai di Jepun semalam susulan letusan gunung berapi dasar laut di Tonga, menurut laporan Kyodo News.
Kerajaan Jepun mengeluarkan arahan berpindah kepada hampir 230,000 penduduk sebagai langkah berjaga-jaga meskipun ombak itu tidak mengakibatkan kerosakan besar.
Terdahulu, amaran tsunami telah dikeluarkan agensi kaji cuaca Jepun pada tengah malam kelmarin bagi penduduk tepi pantai dari kawasan Hokkaido hingga ke Okinawa.
Tetapi amaran tersebut ditarik balik 14 jam kemudian.
Agensi itu berkata fenomena paras air laut naik dan turun itu akan berlaku tetapi tidak mendatangkan risiko bencana.
Bagaimanapun, agensi tersebut menggesa agar semua aktiviti di pantai seperti berenang dan memancing dihentikan untuk seketika.
Sementara itu, beberapa bot nelayan telah terbalik dan rosak akibat kejadian tsunami tersebut dan ianya juga menyebabkan kelewatan atau pembatalan pengangkutan awam.
Kerajaan Jepun telah meminta, lebih kurang 229,000 penduduk di lapan wilayah iaitu Aomori, Iwate, Miyagi, Chiba, Tokushima, Kochi, Miyazaki dan Kagoshima untuk menjauhkan diri dari kawasan pantai.
Selain itu, pengangkutan awam seperti kereta api, udara dan maritim juga terjejas dengan 27 penerbangan domestik Japan Airlines termasuk keluar masuk Amami dibatalkan.
Comments