Jerman puji peranan Malaysia jadi pemudah cara konflik Thailand-Kemboja
- nabalunews
- Jul 29, 2025
- 1 min read

29 Julai 2025
KUALA LUMPUR: Jerman merakamkan penghargaan kepada Malaysia yang memainkan peranan aktif sebagai pemudah cara dalam usaha menyelesaikan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penghargaan itu disampaikan oleh Canselor Jerman, Friedrich Merz menerusi perbualan telefon petang semalam.
“Ia merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan diplomasi serantau dan komitmen Malaysia dalam mendukung keamanan serta kestabilan ASEAN.
“Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia kekal komited memperkukuh perpaduan dan kestabilan serantau melalui pendekatan diplomasi, dialog dan prinsip kemanusiaan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Anwar berkata, dalam perbualan itu, beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas pelantikan Merz sebagai Canselor Jerman.
Dalam pada itu katanya, beliau dan Merz juga bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala Malaysia dan Jerman yang semakin kukuh selain menyatakan komitmen bersama untuk memperluas kerjasama strategik dalam pelbagai bidang.
“Kerjasama erat dengan rakan antarabangsa seperti Jerman amat penting dalam memperkukuh peranan ASEAN sebagai blok serantau yang berwibawa, progresif dan berprinsip,” katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan Thailand dan Kemboja berjaya mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dan dihoskan Anwar selaku Pengerusi ASEAN.















Comments