JETAMA SEDIA WANG TUNAI RM500 KEPADA 50 PENONTON BERTUAH
- nabalunews
- 15 hours ago
- 2 min read

29 Mei 2025
KOTA KINABALU: Jetama Sdn Bhd menawarkan wang tunai RM500 kepada 50 orang penonton bertuah sempena pelancaran filem pendek sambutan Pesta Kaamatan 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Naim Uddang berkata, filem berdurasi 11 minit bertajuk “JETAMA | Kaamatan 2025 : Tahun Depan” telah dilancarkan di platform YouTube syarikat berkenaan pada 22 Mei lalu.
“Filem ini mengangkat tema pengorbanan dan semangat kekeluargaan serta janji antara adik dan kakak di mana ia mengisahkan Esther dalam dilema membantu mangsa kemalangan atau untuk meneruskan perjalanan bagi mengikuti pertandingan Unduk Ngadau seperti janji kepada kakaknya.

"Sedikit kelainan pada tahun ini kami menggunakan kepakaran pengarah terkenal Mohd Ghazzali Abu Bakar yang berganding bahu dengan penulis skrip tempatan Siti Syazurah Mohd Anwar untuk menghasilkan naskah tahun ini.
“Kami berharap filem pendek yang mengambil masa dua hari penggambaran ini akan dapat menambat hati penonton dan secara tidak langsung dapat mengangkat tema Pesta Kaamatan 2025 iaitu "Kaamatan Untuk Semua””, ujarnya.
Datuk Ahmad Naim turut menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai pertandingan mencipta slogan berdasarkan kandungan filem pendek tersebut.
“Saksikan video berkenaan dan kongsikan pautan filem pendek tersebut https://www.youtube.com/watch?v=Ny4r2T9VvmQ di laman sosial Facebook, Instagram atau Tiktok.
“Para penonton juga perlu merangka satu ayat pendek yang bermula dengan “Saya suka video ini kerana...” (tidak lebih 20 patah perkataan) dan disertai dengan hashtag #kaamatanJetama2025, #jetama dan #kaamatanuntuksemua mulai 28 Mei hingga 8 Jun depan.
“Hantaran penyertaan juga perlu dikongsi secara umum (public) di akaun media sosial masing-masing bagi tujuan pemantauan dan penilaian oleh pihak urusetia pertandingan,”kongsinya.
Filem pendek tersebut menggunakan Kampung Sangkir, Kota Belud sebagai lokasi pengambaran dan dibintangi dua pelakon berasal daripada Kota Marudu iaitu Shelviana Josh sebagai Esther dan Julina Yongun memegang watak ibu.
Comments