top of page

Jiran selamatkan tiga sekeluarga dalam kebakaran

  • nabalunews
  • Nov 18, 2024
  • 1 min read

18 November 2024


KOTA KINABALU: Tindakan pantas seorang lelaki berjaya menyelamatkan nyawa tiga sekeluarga yang juga jirannya dalam kebakaran yang memusnahkan dua rumah di Kampung Inanam Laut, di sini, pada Ahad.


Menurut laporan Info X, lelaki berkenaan, Hermansyah Abdul Muis, 37, berkata ketika kejadian dia berada di rumah tidak jauh dari lokasi kejadian dan terdengar jeritan penduduk kampung mengenai rumah yang terbakar.


Katanya, dia kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum terdengar anak mangsa menjerit meminta tolong kerana ibu bapa dan abang masih berada di dalam rumah berkenaan.


“Anak jiran itu terus menjerit memanggil ibu bapanya. Pada masa itu garaj rumah terbakar dan belum merebak ke rumah mangsa.


“Tanpa berlengah saya dengan dua lagi jiran bergegas masuk ke rumah di bahagian bawah lalu membawa keluar ketiga-tiga mangsa berkenaan,” katanya yang bertugas sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas.


Hermansyah berkata, selepas diselamatkan tanpa sebarang kecederaan, dia kemudian menyerahkan ketiga-tiga mangsa kepada ahli keluarga mereka.


Ketika kejadian, beliau secara kebetulan berada di rumah kerana jadual syif tugasnya pada waktu malam.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.46 petang.


“Seramai 24 pegawai dan anggota bersama tiga jentera pemadam api dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan dua rumah dan operasi pemadaman segera dijalankan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 3.15 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page