JKDM Labuan Sita 88 Kenderaan Langgar Perintah Duti Kastam
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 1 min read

29 Disember 2025
LABUAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan berjaya menyita 55 kenderaan selepas didapati gagal mematuhi Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 sepanjang tahun ini.
Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag Tuah berkata, semua rampasan berkenaan dianggarkan bernilai keseluruhan termasuk cukai melebihi RM7.1 juta.
Katanya, semua kenderaan terbabit disita menerusi beberapa siri operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Sabah dan Sarawak.
“Semua kenderaan berkenaan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) menggunakan kemudahan di bawah Butiran 14, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
“Bagaimanapun, kenderaan-kenderaan itu didapati gagal dikembalikan ke Pulau Bebas Cukai selepas tamat tempoh yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Pejabat Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan, JKDM Labuan, hari ini.
Menurutnya, operasi berkenaan dijalankan bagi mengesan pemilik kenderaan yang melanggar syarat di bawah Butiran 14 Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017.
Katanya, kenderaan pelbagai jenama itu disita dan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 sebelum tindakan lanjut diambil.
“Kenderaan yang dibeli di Pulau Bebas Cukai Langkawi dan Labuan hanya dibenarkan dibawa masuk ke Kawasan Utama Kastam (KUK) untuk tempoh tidak melebihi 90 hari dalam setahun,” tegasnya.














