top of page

JKDM Rampas 16,716 Liter Minuman Keras Dalam Tiga Operasi Berasingan.

  • nabalunews
  • Dec 17, 2025
  • 2 min read

17 Disember 2025


KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 16,716 liter minuman keras pelbagai jenama dalam tiga operasi serbuan berasingan yang dijalankan pada 29 Oktober lalu di beberapa lokasi sekitar Daerah Papar dan Menumbok.


Hasil tiga serbuan berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras yang dianggarkan bernilai RM308,468 termasuk cukai.


Pengarah JKDM Negeri Sabah, Dr. Ahmad Taufik Sulaiman, berkata serbuan pertama dijalankan pada jam 3 petang di kawasan Jalan Pan Borneo, Kampung Tanaki–Kampung Kawang, Papar.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap sebuah lori didapati membawa 5,368 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM83,230 termasuk cukai.


“Serbuan kedua pula dilaksanakan pada jam 7.30 malam di sekitar Terminal Parkir Menumbok, manakala serbuan ketiga dijalankan berhampiran Stesen Minyak Petron, Jalan Beaufort–Menumbok.


“Hasil daripada dua lagi serbuan berkenaan, pasukan operasi berjaya merampas 11,348 liter minuman keras yang dianggarkan bernilai RM 153,908,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bangunan Menara Kastam Sabah, di sini, hari ini.


Menurutnya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan yang dirampas dianggarkan bernilai RM420,468.


Dr. Ahmad Taufik berkata, semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 atas kesalahan mengangkut barang larangan.


Katanya, Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000, yang mana lebih besar dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.


Sehubungan itu, Dr. Ahmad Taufik menggesa orang ramai agar terus membantu JKDM dalam usaha memerangi jenayah penyeludupan, khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain barangan terlarang.


“Penyeludupan bukan sahaja menyebabkan ketirisan hasil negara, malah turut mengancam keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat.


“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan diminta untuk menyalurkannya kepada pihak berkuasa dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam terdekat di semua negeri.


“JKDM turut memberi jaminan bahawa identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Ahmad Taufik berkata, JKDM turut mencatat kejayaan apabila memenangi dua kes di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu melibatkan kegagalan membuat pembayaran cukai jualan dan penalti dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM553,327.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page