JKDM RAMPAS MINUMAN KERAS, ROKOK DAN BARANGAN ELEKTRIK SELUDUP SELUDUP
- nabalunews
- Mar 26
- 2 min read

26 Mac 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras, rokok dan barangan elektrik seludup bernilai RM878,858 dalam empat siri serbuan berasingan dalam tempoh empat hari, awal bulan ini.
Semua barangan berkenaan dipercayai diseludup masuk tanpa cukai untuk pasaran tempatan dengan mengisytiharkan sebagai barangan lain.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Saidin Jalaluddin berkata, rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan terhadap tiga kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 4 Mac lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan, kontena berkenaan mengandungi 41,472 minuman keras pelbagai jenis yang tidak berkastam bernilai keseluruhan sebanyak RM809,028.
“Kes yang kedua diperolehi kira-kira jam 2 petang hari yang sama, apabila pasukan operasi menyerbu sebuah premis di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu.
“Hasil pemerikdaan, pasukan operasi berjaya merampas 751.16 liter minuman keras pelbagai yang juga melanggar peraturan mengikut Akta Kastam 1967.
“Rampasan terus dilakukan membabitkan nilai RM2,144 dengan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM6,723 ,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.
Saidin berkata, rampasan ketiga dijalankan pada 5 dan 7 Mac lalu di sebuah stor di kawasan ladang dan pasar tamu Brumas.
Katanya, hasil pemeriksaan, pasukan operasi berjaya merampas sebanyak 26,726 batang rokok seludup bernilai keseluruhan sebanyak RM25,015 berjaya dirampas.
“Manakala, rampasan keempat membabitkan wayar dan barangan elektrik yang berjaya dilakukan pada 6 Mac lalu di kawasan Terminal Bas Ekspress Lahad Datu.
“Antara yang dirampas adalah 216 gulung wayar dan lampu LED pelbagai jenama disyaki barang larangan yang bernilai sebanyak RM5,060 termasuk cukai,” katanya.
Saidin berkata, berdasarkan kepada keempat-empat kes, modus operandi yang digunakan adalah membuat pengikraran palsu.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.
Katanya, pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sehubungan itu, Saidin menyeru orang ramai supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
Katanya, JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan.
Sementara itu, Saidin berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia melancarkan operasi pada bila-bila masa termasuk hari cuti Aidilfitri.
Malah katanya, pelbagai operasi telah dirancang bermula 1 Mac sehingga 28 Mac untuk tujuan mengekang aktiviti penyeludupan masuk ke negara.
“Sehingga 28 hari bulan tu memang kita all out operasi dan sepanjang hari raya berlangsung kita ada sebahagian kecil pegawai yang terlibat untuk operasi selanjutnya sepanjang tempoh Aidilfitri,” katanya.
Comments