top of page

JKKK Persekutuan Perlu Dimansuhkan Di Sabah - Jeffsonzo

  • nabalunews
  • Jan 28
  • 1 min read

28 Januari 2026


KENINGAU: Ketua Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Keningau, Jeffsonzo Japrin, hari ini menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ewon Benedick, agar kerajaan Persekutuan memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Persekutuan di negeri ini.


Beliau menegaskan langkah itu wajar dan perlu bagi menyelaraskan pentadbiran akar umbi khususnya Sabah sudah mempunyai Enakmen JKKK tersendiri yang digubal dan dilaksanakan berdasarkan keperluan serta realiti pentadbiran tempatan.


“Kewujudan dua struktur JKKK yang berbeza bukan sahaja mengelirukan rakyat di peringkat kampung, malah berpotensi menjejaskan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan,” jelas Jeffsonzo.


Jeffsonzo menekankan, Enakmen JKKK Sabah perlu dihormati sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan, selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan prinsip autonomi wilayah yang telah dipersetujui bersama.


“Pemerkasaan sistem pentadbiran kampung di bawah bidang kuasa kerajaan negeri akan membolehkan urus tadbir yang lebih tersusun, telus dan berkesan,” ujarnya.


Beliau yakin bahawa pendekatan tunggal ini akan memastikan kebajikan serta pembangunan rakyat di peringkat akar umbi dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan tepat sasaran.


Cadangan Timbalan Ketua Menteri III itu telah dikemukakan semasa perbahasan di Parlimen pada 27 Januari lalu.


Jeffsonzo berharap kerajaan Persekutuan dapat mengambil pendekatan yang lebih menghormati struktur pentadbiran sedia ada di Sabah.


“Ini adalah bagi mengelakkan sebarang pertindihan fungsi dan, yang lebih penting, bagi memastikan keharmonian serta kerjasama erat dalam pentadbiran antara kerajaan negeri dan Persekutuan,” tambahnya.


Langkah tersebut dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh lagi pelaksanaan hak autonomi Sabah dalam hal ehwal pentadbiran tempatan, sekaligus menyatu padukan saluran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page