JKR AMBIL TINDAKAN SEGERA BAIKI KEROSAKAN JALAN DAN JAMBATAN RUNTUH AKIBAT BANJIR
14 JAN 2021
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid
KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan mengambil tindakan segera bagi membaiki infrastuktur yang rosak ekoran hujan lebat dan banjir yang berlaku di beberapa buah daerah di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, cuaca tidak menentu di Sabah yang mengakibatkan berlaku banjir seterusnya menjadi punca kepada kerosakan jalan runtuh termasuk jambatan khususnya di daerah Pitas.
“Saya sudah menerima laporan dari JKR mengenai kejadian yang berlaku dan jurutera daerah di kawasan terlibat dengan musibah ini telah turun padang memantau dan memberikan laporan terperinci mengenai kerosakan yang dialami.
“Selain daerah Pitas, saya difahamkan turut berlaku runtuhan infrastuktur jalan dan jambatan di daerah Kota Marudu dan Beluran,” katanya.
Bung yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, antara kawasan terlibat runtuhan adalah di Jalan Langkon-Pitas (KM53.05), Jalan Maringgan (KM1.7), Jalan Suang Duyung-Layak-Layak(KM0.25) dan Jalan Suang Duyung-Layak-Layak (KM 4.25).
Selain itu katanya, turut terjejas adalah di Jalan Sosop Bal (Eria kampung Rinasuk), Jalan Ulu Malubang (KM15.5) Jalan Mongkubou Laut (KM2.0) Jalan Mongkubou Laut (KM6.95) dan Jalan Telaga membabitkan kerosakan Jambatan Sungai Paparoun yang runtuh ekoran banjir.
“Bagi kes jalan runtuh yang tidak terlalu serius, kerja-kerja pembersihan telah pun dilaksanakan oleh pihak JKR termasuk jalan-jalan dibawah jagaan kontraktor atau syarikat yang mendapat konsesi penyelanggaran.
“Manakala bagi kes-kes jalan runtuh termasuk jambatan yang memerlukan kos pembaikan yang tinggi ianya akan dinilai bagi menentukan anggaran kos pembaikan dan akan dilaksanakan segera bagi memastikan sistem perhubungan penduduk yang terlibat tidak terjejas dan dapat dipulihkan segera,”katanya.
Dalam pada itu Bung meminta semua jurutera daerah JKR agar bersiap-siaga memantau keadaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya hujan berterusan dan banjir berlaku.
Comentarios