Jom Masuk U 2025 Zon Sabah 1 dilancarkan di Sandakan
- nabalunews
- Apr 19
- 1 min read

19 April 2025
SANDAKAN: Bakal mahasiswa disarankan memilih bidang yang mempunyai kebolehpasaran tinggi semasa mengisi permohonan dalam Sistem Permohonan Kemasukan Pelajar dalam talian (UPU Online).
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ia amat penting agar mereka mempunyai hala tuju dalam dunia pekerjaan selepas tamat pengajian.
Katanya, kerajaan juga akan terus memperkasa pendidikan negara khususnya pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).
“Justeru, saya menyeru ibubapa terus menggalakkan anak-anak untuk melanjutkan pengajian tinggi dan bidang itu sekaligus mendapat pulangan pekerjaan yang berkaitan selari kemahiran dan pembelajaran mereka.
“Kita juga tidak mahu ada pelajar dari negeri ini tercicir mendaftar di pengajian tinggi kerana masalah kewangan.
“Ini kerana terdapat penangguhan bagi pembayaran yuran awal sehingga mereka menerima bantuan berkenaan antaranya zakat, biasiswa dan pinjaman pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sejurus melancarkan Karnival Jom Masuk U 2025 Zon Sabah 1 di Kompleks Sukan Sandakan, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti, Datuk Mohd Zahari Ismail bersama Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan) Jabatan Pendidikan Tinggi, Dr.Zainal Amin Ayub.
Sandakan merupakan siri jelajah ke sembilan bagi zon seluruh negara bermula 19 April sehingga 18 Mei bermula di dua zon iaitu Sandakan, Sabah dan Kuala Nerus, Terengganu.
Manakala Jom Masuk U Zon Sabah 2 anjuran KPT itu akan diadakan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada Mei depan dan lokasi lain di seluruh negara.
Program berkenaan merupakan inisiatif utama KPT dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada pelajar seluruh negara terutamanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan setaraf dengannya.
Comentários