JPG Keningau pantau harga, bekalan dan hak pengguna
- nabalunews
- 1 hour ago
- 1 min read

4 April 2026
KENINGAU: Jawatankuasa Gerakan Pengguna (JPG) Daerah Keningau bagi sesi 2026–2028 menetapkan tiga fokus utama iaitu memperkukuh pengawasan harga dan bekalan, meningkatkan literasi digital kepenggunaan serta mempergiat advokasi hak pengguna.
Di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), JPG berperanan sebagai penggerak utama dalam memastikan pelaksanaan inisiatif kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman.
Pengerusinya yang baharu, Peter Jonu Moinjil berkata, jawatankuasa itu yang dianggotai wakil jabatan dan agensi kerajaan, aktivis komuniti, ahli akademik serta usahawan muda akan bekerjasama rapat dengan KPDN bagi mempertingkat pemantauan di peringkat tempatan.
“Kami akan mempergiat pemantauan harga barangan keperluan asas bagi memastikan inisiatif seperti ‘Harga Madani’ dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, terutama di kawasan luar bandar.
“Selain itu, pendidikan berkaitan transaksi e-dagang turut diberi keutamaan bagi melindungi pengguna, khususnya golongan muda, daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian,” katanya selepas majlis pelantikan rasmi, baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Keningau, Fadzly Daupin berkata penstrukturan semula JPG diyakini mampu meningkatkan keberkesanan tindakan melalui penyaluran maklumat yang lebih pantas.
Beliau berkata langkah itu penting dalam mewujudkan persekitaran pasaran yang adil, telus dan berdaya saing.
“Sehubungan itu, kami menggesa pengguna di daerah ini agar terus menggunakan saluran rasmi untuk melaporkan sebarang salah laku peniaga,” katanya.
Dalam perkembangan sama, JPG Keningau menyasarkan penganjuran Program Jualan Rahmah Madani dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan rakyat terus menikmati manfaat subsidi kerajaan.
Usaha memperkukuh Gerakan Pengguna Zon Keningau turut dipergiat menerusi pelaksanaan kempen kesedaran kepenggunaan di daerah Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan.















Comments