JPJ Kudat laksana Ops PEWA, sasar pemandu warga asing dan penyalahgunaan dadah
- nabalunews
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KUDAT, 8 Julai – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kudat melaksanakan Ops Khas Pemandu Warga Asing (PEWA) dan Ops Bersepadu Dadah Kenderaan Perdagangan secara serentak semalam bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang jalan raya serta membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.
Operasi itu dijalankan dengan kerjasama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Kudat serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kudat.

JPJ Kudat dalam kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu itu memberi tumpuan kepada pengesanan dan tindakan terhadap warga asing yang memandu kenderaan persendirian atau perdagangan tanpa dokumen pengenalan diri dan lesen memandu yang sah.
Selain itu, ujian saringan air kencing turut dijalankan ke atas pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan barangan dan perkhidmatan awam.

Menurut kenyataan itu, operasi turut memberi penekanan terhadap pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk membabitkan Lesen Kenderaan Motor (LKM), perlindungan insurans, Lesen Memandu Percubaan (PDL), Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Memandu Vokasional, Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).
Pemeriksaan juga melibatkan aspek teknikal kenderaan seperti lampu isyarat atau lampu amaran yang tidak berfungsi serta pengubahsuaian ekstrem yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Dalam pada itu, JPJ Kudat mengingatkan pemilik kenderaan tempatan supaya tidak membenarkan kenderaan mereka dipandu atau digunakan oleh warga asing yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan lesen memandu yang sah.
Katanya, tindakan tegas boleh diambil terhadap pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang, termasuk pengeluaran notis saman yang tidak boleh dikompaun, pendakwaan di mahkamah serta penyitaan kenderaan.
JPJ Kudat menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya.











