JPKK boleh bantu pantau projek di kampung

24 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memberi pengiktirafan kepada peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam memantau pelaksanaan projek-projek pembangunan infrastruktur kampung di kawasan luar bandar.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim berkata, JPKK yang berada di bawah seliaan pejabat daerah boleh memberi cadangan dan maklum balas mengenai projek-projek yang memberi manfaat kepada penduduk kampung.
“JPKK tidak terlibat dalam mengawal selia peruntukan untuk membaiki projek infrastruktur kampung, tetapi mereka boleh membantu agensi pelaksana untuk memantau semua projek yang dilaksanakan di kawasan kampung masing-masing,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Beliau turut menjelaskan bahawa Jawatankuasa Dalam Bandar (JKDB) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP) dan Jabatan Ketua Menteri (JKM) masing-masing.
Jannie bertanya mengenai proses pemantauan JPKK, JKDB dan UPPM dalam menjalankan tugas dan mengawal selia peruntukan untuk membaiki projek infrastruktur kampung.
Comments