Jumlah murid SK Pulau Gaya keracunan makanan meningkat, murid makan nasi lemak sebelum alami keracunan makanan
24 Julai 2024
KOTA KINABALU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya, dekat sini, yang dilapor mengalami keracunan makanan kelmarin, mempunyai sejarah makan nasi lemak sebelum kejadian berkenaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna, berkata murid sekolah terbabit mengaku memakan nasi lemak sekitar jam 9.50 pagi, namun sejarah lengkap pergerakan dan pendedahan kepada makanan masih dalam siasatan.
"Tindakan kawalan sudah dilaksanakan, termasuk memberi rawatan bersesuaian dan menjalankan pengesanan kes secara aktif (ACD).
"Turut dilaksanakan ialah pendidikan kesihatan kepada individu terbabit dan pengambilan sampel makanan, minuman serta persekitaran bagi pengesahan punca kejadian," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin mengesahkan 91 murid sesi pagi SK Pulau Gaya mengalami keracunan makanan hingga terpaksa dihantar ke beberapa hospital dan klinik di sekitar ibu negeri.
Paling ramai dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas, selain Hospital Queen Elizabeth (HQE), Klinik Kesihatan Luyang dan Klinik UTC Kota Kinabalu.
Namun jumlah itu bertambah kepada 103 murid berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri hari ini, menjadikannya satu wabak dengan gejala seperti muntah dan sakit perut.
Dr Asits berkata, notifikasi wabak berkenaan diterima daripada klinik dan hospital kerajaan di ibu negeri pada jam 2.09 petang kelmarin dengan kes mengalami gejala muntah, cirit-birit dan sakit perut.
"Sebanyak lapan kes dimasukkan ke wad, manakala 95 kes dirawat sebagai pesakit luar. Semua berumur antara enam hingga 12 tahun dan mereka dalam keadaan stabil serta tiada kematian dilaporkan," katanya.
Katanya, JKNS dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu akan terus memantau kejadian itu dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
Comments