top of page
nabalunews

Junsim menyantuni komuniti Kampung Mandurian di Pitas

28 Oktober 2024


PITAS: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kudat telah mengadakan program sumbangan kasih dan aktiviti santai bersama lebih daripada 50 penduduk di Kampung Mandurian, Pitas baru-baru ini.


Program ini bertujuan untuk mengukuhkan hubungan antara UPKO dan komuniti setempat, sambil membantu mereka yang memerlukan.


Ketua Bahagian UPKO Kudat, Junsim Rumunzing, menjelaskan bahawa program ini merangkumi beberapa inisiatif utama. Antaranya ialah penyerahan bakul makanan kepada 20 keluarga yang kurang berkemampuan, sumbangan pakaian kepada Ahli Jawatankuasa Gereja Protestant Sabah (PCS), dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan sepak takraw yang diadakan sempena program ini.


Dalam ucapannya, Junsim meminta masyarakat di N.2 Bengkoka agar memperkukuhkan sokongan terhadap UPKO.


Beliau mengingatkan agar mereka tidak mudah terpedaya dengan janji-janji kosong calon-calon pilihan raya yang gagal menunaikan komitmen kepada masyarakat.


Junsim turut menekankan pentingnya masyarakat belajar daripada pengalaman lalu, terutamanya berkaitan isu pembangunan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik, dan perumahan yang masih belum diberi perhatian sewajarnya, meskipun terdapat janji daripada sesetengah pihak sebelum ini.


Beliau menambah bahawa UPKO komited untuk menghapuskan kemiskinan melalui pendekatan holistik yang melibatkan fokus kepada pendidikan, bantuan untuk usahawan, dan pembangunan sektor pertanian.


Selain itu, Junsim mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Mandurian atas sambutan mesra yang diberikan serta jemputan ke majlis ini.


Beliau yakin bahawa sokongan terhadap UPKO bukan sahaja datang dari Kampung Mandurian tetapi juga daripada kampung-kampung sekitar yang mula sedar akan pentingnya kerjasama dan sokongan kepada UPKO demi masa depan yang lebih baik.

Comments


bottom of page