JURAGAN BOT NEKAD TERJUN KE LAUT BAGI MENGELAK DARI DITAHAN
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

3 Mei 2025
SEMPORNA: Seorang juragan bot nekad terjun ke laut bagi melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa dalam kejadian di perairan utara Pulau Gaya, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9.10 pagi itu, lelaki yang dipercayai membawa minyak petrol bersubsidi berkenaan berjaya meloloskan diri selepas berenang ke kawasan cetek.
Mengikut kenyataan yang dikeluarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini berkata, bertindak atas maklumat Unit Risik Zon Maritim Semporna, pasukan operasi Bot BANGGI 11, dikerah ke lokasi untuk pemantauan.
Katanya, bot jenis enjin sangkut berwarna putih itu kemudiannya dikesan kira-kira 0.7 batu nautika di utara Pulau Gaya.
“Ketika cuba didekati, juragan terbabit bertindak terjun ke laut dan berenang ke kawasan perairan cetek.
“Suspek kemudiannya berjaya melarikan diri dan sehingga kini masih belum berjaya ditahan,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemukan 16 tong jerrycan yang disyaki mengandungi petrol.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan mencecah RM11,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Sehubungan itu, pihak Maritim Malaysia memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di 089-782619 bagi membantu siasatan dan penguatkuasaan.
Comments