top of page

Kaamatan Lambang Warisan Budaya Momogun

  • nabalunews
  • 9 minutes ago
  • 1 min read

15 Mei 2025


KOTA BELUD: Pesta Kaamatan adalah lambang kesinambungan warisan budaya dan tradisi masyarakat Momogun.


Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Donald Mojuntin berkata, ia bukan sekadar sambutan menuai tetapi juga simbol perpaduan, warisan serta kekayaan seni suara yang diwarisi turun-temurun.


"Pesta ini sarat dengan nilai kemasyarakatan, kesyukuran dan penghargaan terhadap kejayaan yang kita telah kecapi," katanya.



Donald berkata demikian semasa merasmikan Sodop Unduk Ngadau dan Rombituon UPKO 2025, di Dewan Kadamaian Square Taginambur, di sini, hari ini.


Selain itu, Donald berkata, Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan kecantikan tetapi simbol penghormatan terhadap semangat pengorbanan Huminodun yang menjadi asas kehidupan masyarakat Momogun.


"Kisah Huminodun melambangkan semangat pengorbanan yang menjadi sumber kekuatan dalam usaha memperkasa taraf ekonomi, sosial, dan akademik, di samping memelihara warisan budaya," katanya.



Sementara itu, Donald berkata, pertandingan Rombituon pula merupakan platform untuk memartabatkan lagu tradisional dan moden dalam bahasa ibunda, selain menyuburkan bakat muda sebagai penerus budaya.


"Marilah kita terus menyokong dan meraikan program seumpama ini agar budaya kita terus berkembang dan hidup subur, selaras dengan tema Pesta Kaamatan Sabah 'Kaamatan untuk semua'," katanya.



Sebanyak 17 peserta menyertai pertandingan Unduk Ngadau manakala 10 peserta bersaing dalam kategori Rombituon bertanding pada program berkenaan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page