Kaamatan Nabawan disambut tiga hari
- nabalunews
- Apr 29
- 2 min read

29 April 2025
NABAWAN: Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan akan berlangsung selama tiga hari bermula 2 hingga 4 Mei depan.
Pengerusi bersama Jawatankuasa Induk Pelaksana Pesta Kaamatan Daerah Nabawan Marshal Anthony @ Idham berkata, ia bermula dengan pelancaran sambutan Perayaan Pesta Kaamatan, di Dewan Terbuka Pagalungan.
Katanya, ia dijangka akan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Kerterjaminan makanan Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.
“Ia dimulakan dengan Pertandingan Sugandoi peringkat akhir akan berlangsung di pentas terbuka Pagalungan dan penampilan Khas finalis Unduk Ngadau dan Finalis Bubanzoi Tavantang Kaamatan 2025.
"Pada hari berikutnya akan diadakan pertandingan sukan tradisi iaitu tarik tali, terompak gergasi, melastik, menyumpit, membujak dan rampanau yang di kawasan lapang pekan Nabawan” katanya.
Beliau berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah di Pejabat Daerah di sini.
Sementara itu Marshal yang juga Pegawai Daerah Nabawan berkata, sambutan kemuncaknya pada 4 Mei akan berlangsung di Pentas Terbuka Majlis Daerah Nabawan dan akan dirasmikan oleh
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin.
Katanya, antara aktiviti yang akan diadakan pada 3 hingga 4 Mei termasuklah pertandingan pameran dan gerai jualan hasil-hasil pertanian, haiwan dan perikanan, Persembahan Koir, Pertandingan Pondok Mukim, Penyampaian Tokoh Peladang Jaya, Cabutan tiket bertuah, Persembahan Nyanyian, Persembahan Kebudayaan,Pertandingan tumbuk padi, Bubanzoi Tavantang dan Pertandingan akhir Unduk Ngadau sebagai acara kemuncak.
Orang ramai dijemput datang dan menyaksikan pelbagai acara menarik sempena perayaan pesta kaamatan peringkat Daerah Nabawan dan Daerah Kecil Pagalungan Tahun 2025 yang bertemakan ”Kaamatan untuk semua atau "Kaamatan katangan Kawie" dalam bahasa Murut.
Mesyuarat itu turut dihadiri, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Deckson Andipai, Ketua Daerah Nabawan OKK Ulin Pamiang, Ketua Daerah Daerah Kecil Pagalungan OKK Philip Antugi, Penolong Pegawai Daerah Pentadbiran Fellyntia Sungkang.
Komentar