Kaamatan perkukuh perpaduan, keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kaamatan perkukuh perpaduan, keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama: Ewon


Carl (tengah) bersama ahli jawatankuasa penganjur merasmikan Pesta Kasmatan Perpaduan Zon Kolopis.

25 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan Pesta Kaamatan dapat memperkasakan keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.


Sehubungan itu katanya, perayaan yang sinonim dengan masyarakat Kadazandusun itu yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia perlu dipertahan dan dibudayakan.


“Rakyat Malaysia di Sabah yang meraikan sambutan Kaamatan bukan hanya perlu mempertahankan signifikan perayaan ini, tetapi harus menggunakan ruang pertemuan sempena “karamaian” ini untuk menginsafi keberadaan kita dalam Malaysia sejak 60 tahun lepas.


“Seterusnya merencanakan apa yang perlu dilaksanakan untuk tempoh 60 tahun yang akan datang,” katanya dalam teks ucapan sempena Sambutan Pesta Kaamatan Perpaduan Zon Kolopis, anjuran 7 Kampung bersama KDCA, JPKK, KRT & Komuniti Wanita, di sini, pada Ahad.

Carl menandatangani buku pelawat Tekun yang turut menyertai pameran sempena sambutan Kaamatan Zon Kolopis.

Teks ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Politiknya Carl Moosom.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, Kaamatan akan lebih bermakna sekiranya masyarkatnya mempunyai daya saing ekonomi yang lebih baik.


“Justeru, saya ingin melihat pembudayaan keusahawanan di kalangan rakyat kita terus berkembang dengan lebih pesat, pro-aktif, berdaya saing, mengadaptasi inovasi dan digitalisasi serta amalan baik ESG (environment, social and governance) - alam sekitar, sosial dan tadbir urus.


“Sebagai usahawan dan pemegang taruh aktiviti ekonomi negara, rakyat kita boleh menuai (mongomot) hasil yang lebih baik dan mempunyai sebab yang lebih bermakna untuk merayakan sambutan Kaamatan pada masa akan datang.

“Sehubungan itu saya menyeru semua lapisan masyarakat agar sama-sama menghayati mesej penting di sebalik perayaan Pesta Kaamatan iaitu persafahaman, persahabatan, perpaduan dan kesatuan yang erat,” katanya.


Beliau berkata, sebagai wakil rakyat Penampang, beliau akan terus berusaha memastikan pembangunan dan keperluan penduduk di sini terus diberi perhatian.


“Jaminan saya kepada penduduk Penampang ialah akan terus bekerja keras ‘membubut’ peruntukan pembangunan di sini.


“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Pelan Pembangunan Penampang kini sedang dilaksanakan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan dijangka akan siap pada Oktober ini. Apabila siap kelak Pelan Pembangunan itu akan menjadi input kerajaan untuk merancang pembangunan di Penampang,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page