- Wartawan Nabalu News
Kaamatan-Raya Kg.Kiau Taburi disambut meriah

12 Jun 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Sambutan Kaamatan-Raya Peringkat Kampung Kiau Taburi yang julung kalinya dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kampung itu dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik.
Antaranya Sugandoi terbuka, sugandoi Songkotoun dan Dazanak, peragaan pakaian tradisional kanak-kanak, pertandingan membuat kraftangan (Sinondugan) menggunakan bahan kitar semula dan pertandingan masakan tradisional.

Selain itu pertandingan sukan tradisional turut diadakan iaitu Mipulos (gusti tangan), Monopuk, Mongompuri dan Momungkal Lugus.

Majlis itu diadakan selama dua hari bermula kelmarin di Dewan Mini Kg.Kiau Taburi, disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian yang juga Mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick.

Ketika berucap pada majlis itu Ewon berkata, penganjuran sambutan kaamatan di kampung itu adalah peluang untuk mengeratkan silaturahim serta bertukar-tukar khabar terutama penduduk yang bekerja di bandar dan balik kampung semata-mata merayakan sambutan itu.
“Selepas pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menghadkan pergerakan, rakyat kini boleh menganjurkan pelbagai program seperti sebelumnya dan perlu memfokus kepada kesatuan dan perpaduan,” katanya, hari ini.

Ewon berkata, kejayaan menganjurkan acara seumpama itu menunjukkan kerjasama erat dikalangan penduduk kampung.
“Terima kasih kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan acara ini. Saya sentiasa menyokong apa sahaja program anjuran penduduk kampung yang boleh memberikan manfaat kepada mereka,” katanya.
