Kabinet Negeri Sabah lulus pertukaran nama dua kementerian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kabinet Negeri Sabah lulus pertukaran nama dua kementerian


1 Feb 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kabinet negeri Sabah meluluskan pertukaran dua nama kementerian pada mesyuarat mingguannya hari ini.


Kementerian itu ialah Kementerian Pertanian dan Perikanan, kini dikenali sebagai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), dan Kementerian Pembangunan Perindustrian, kini dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor ketika mengumumkan perkara itu berkata, Jemaah Menteri telah meluluskan pertukaran nama kementerian berkenaan supaya objektif, fungsi dan peranannya lebih jelas, khususnya mengenai keselamatan makanan dan kepentingan usahawan termasuk usahawan kecil dan sederhana.


Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga telah memutuskan untuk menyelaraskan bidang kuasa setiap anggota Kabinet Negeri kepada kementerian Persekutuan masing-masing di Sabah.


Susulan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan akan berada di bawah bidang kuasa Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri MAFFI, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan Persekutuan di bawah Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.


Kementerian Kerja Raya Persekutuan di bawah Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya manakala Kementerian Kewangan akan di bawah Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.


Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Persekutuan telah diletakkan di bawah bidang kuasa Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Persekutuan di bawah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.


Kementerian Perdagangan Antarabangsa Persekutuan dan Industri dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Persekutuan di bawah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe dan Kementerian Belia dan Sukan Persekutuan di bawah Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Ellron Angin.


Manakala Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Persekutuan, Kementerian Komunikasi dan Digital, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif.


Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk James Ratib akan menjaga Kementerian Kesihatan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Kementerian Perpaduan Negara.


Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga telah melantik pengerusi penganjur bagi pelbagai sambutan dan acara perayaan negeri iaitu Mohd. Arifin bagi Maulidur Rasul, Tilawah Al-Quran, Maal Hijrah dan Hari Raya Aidil Fitri, Dr. Jeffrey Kitingan bagi Kaamatan, Masidi bagi Hari Kebangsaan, Liew untuk Hari Malaysia dan Dr. Joachim untuk Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page