top of page
  • nabalunews

Kabinet setuju teruskan dua inisiatif bantuan subsidi tiket penerbangan untuk pelajar dan musim perayaan


3 September 2024


SEPANG: Bagi meringankan beban rakyat, Jemaah Menteri dalam Mesyuarat Kabinet pada Selasa telah bersetuju untuk meneruskan dua inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata subsidi tersebut melibatkan program FLYsiswa dan pengekalan harga siling tiket penerbangan pada musim perayaan.


Program FLYsiswa, yang memberikan bantuan subsidi sebanyak RM300 kepada pelajar institut pengajian tinggi yang layak untuk laluan domestik antara Semenanjung, Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan, akan diteruskan sebagai inisiatif tahunan.


"Kabinet telah pun memutuskan untuk inisiatif program FLYsiswa iaitu bantuan penerbangan kepada pelajar Sabah, Sarawak dan Semenanjung yang layak, mereka tetap diberikan bantuan RM300 dan itu akan dijadikan sebagai inisiatif tahunan.


"Jadi setiap tahun kita akan bantu ini di peringkat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga akan ada membantu pelajar-pelajar mereka. Jadi ini dapat mengurangkan beban khususnya untuk pelajar,” katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan Capsule Transit MAX, di sini pada Selasa, lapor Bernama.


Selain itu, dasar harga siling tiket penerbangan pada musim perayaan juga akan dikekalkan, dengan harga maksimum ditetapkan pada RM599 untuk penerbangan antara Semenanjung dan Sabah atau Sarawak.


Anthony menjelaskan bahawa tiga hari sebelum musim perayaan, kerajaan akan menetapkan kadar harga siling ini dan memberikan subsidi kepada syarikat penerbangan bagi mengurangkan beban kos kepada penumpang.


"Kita akan tetapkan harga siling seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu pada harga RM599, jadi apa yang selebihnya kita akan bagi subsidi daripada kerajaan kepada syarikat penerbangan. Itu antara langkah yang kita ambil untuk memastikan terutamanya penduduk dan rakyat Sabah, Sarawak dapat dibantu dan mengurangkan beban mereka,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Anthony turut memuji pembukaan Capsule Transit MAX, sebuah hotel premium yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2. Hotel ini menawarkan kemudahan setaraf dengan hotel lima bintang, termasuk 46 katil premium, ruang istirahat, spa, dan gimnasium.

Comments


bottom of page