top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kadar pengangguran negara turun ke paras prapandemik



11 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan kadar pengangguran sebanyak 3.3 peratus pada bulan November 2023, sama seperti paras sebelum pandemik COVID-19 melanda negara ini.


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata prestasi tenaga buruh negara menunjukkan peningkatan yang menggambarkan pertumbuhan positif ekonomi semasa.


"Oleh itu, bilangan tenaga buruh terus mencatatkan peningkatan pada bulan November 2023, naik sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan kepada 17.0 juta orang (Oktober 2023: 16.97 juta orang)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau turut menjelaskan bahawa bilangan penduduk bekerja pada bulan tersebut terus meningkat dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan-ke-bulan, mencecah kepada seramai 16.43 juta orang berbanding bulan sebelumnya berbanding Oktober 2023 iaitu 16.40 juta orang.


Manakala, bilangan penganggur pada November 2023 terus menunjukkan penurunan, dengan pengurangan sebanyak 0.3 peratus kepada 569.2 ribu orang berbanding Oktober 2023 iaitu 570.9 ribu orang.


Mohd Uzir berkata, kadar penyertaan tenaga buruh pada November 2023 kekal pada 70.1 peratus, sama seperti pada bulan sebelumnya.


Beliau juga berkongsi bahawa kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun berkurang sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.6 peratus pada November 2023, mencatatkan seramai 308.5 ribu penganggur belia (Oktober 2023: 10.7%; 313.3 ribu orang).


"Begitu juga, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 6.5 peratus, dengan bilangan penganggur belia seramai 432.0 ribu orang (Oktober 2023: 6.6%; 439.6 ribu orang)," katanya.


Beliau menegaskan bahawa struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai dan asas yang kukuh telah menyokong pertumbuhan ekonomi yang stabil walaupun berdepan dengan cabaran global.


"Oleh itu, pasaran buruh negara juga menunjukkan momentum pertumbuhan yang stabil untuk tempoh 11 bulan pada tahun 2023, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan pengangguran yang semakin berkurangan sehingga mengembalikan kadar pengangguran ke paras prapandemik," ujarnya.

bottom of page