• Wartawan Nabalu News

Kadazandusun Murut di Tawau dapat peranan di MAN atas sumbangan UPKO - Ewon


Ewon bergambar bersama para pemimpin dan ahli parti UPKO Bahagian Tawau

20 Jun 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, masyarakat Kadazandusun Murut (KDM) di daerah ini mendapat peranan di Mahkamah Anak Negeri (MAN) Tawau atas sumbangan UPKO semasa pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini.

Menurut Ewon, keperluan untuk mewujudkan jawatan Ketua Anak Negeri (KAN) dan Ketua Kampung (KK) bagi masyarakat KDM di Tawau telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Kabinet Negeri pada 2019 yang diadakan di Tawau, pada masa itu.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

"Pada tahun 2019, satu mesyuarat Kabinet Negeri diadakan di Tawau. Sebelum mesyuarat ini, saya datang sehari awal dan mengadakan perjumpaan dengan pimpinan UPKO Tawau di Kg Piuludan untuk bertanyakan perkara-perkara yang boleh dibangkitkan dalam mesyuarat kabinet tersebut.


"Dalam perjumpaan dengan UPKO Tawau tersebut, saya diberitahu mengenai permasalahan masyarakat KDM di sini terutama yang melibatkan soal-soal adat seperti pertunangan, perkahwinan, tanah dan sebagainya kerana ketiadaan KAN dan Ketua Kampung.

Ewon bersama-sama para pemimpin dan ahli parti memotong kek sempena Haro Bapa pada majlis itu.

“UPKO Tawau juga pada masa itu berpendapat tidak sesuai bagi KAN dan Ketua Kampung daripada suku bangsa lain yang menguruskan hal-hal melibatkan sistem adat masyarakat KDM di sini.

"Justeru selaku ahli kabinet pada masa itu, saya telah bangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat jemaah menteri yang kemudiannya bersetuju mengujudkan jawatan KAN dan KK bagi masyarakat KDM di Tawau. Ini merupakan sumbangan UPKO Tawau dan parti kita semasa penyertaan dalam kerajaan terdahulu," katanya.

Ewon berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat agung tritahunan UPKO Bahagian Tawau di Dewan Pisompuruan, Kg Piuludan di sini, pada Ahad.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, peranan dalam MAN akan memastikan sistem adat dan hal-hal berkaitan komuniti KDM di Tawau dapat diurus dengan baik selepas perlantikan dibuat.

Ketua Bahagian UPKO Tawau Sylvester Taing menjadi KAN pertama bagi masyarakat KDM yang dilantik oleh kerajaan pada masa tersebut.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan bahawa jawatan KAN bagi komuniti KDM di Tawau belum lagi diisi semula, manakala jawatan KK telahpun diteruskan.

“Saya akan bangkitkan perkara ini dalam sidang DUN pada bulan hadapan dan juga telah maklumkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Datuk Masidi Manjun mengenai perkara ini dan beliau telah memberi komitmen untuk menanganinya," katanya.

Ewon berkata, pengisian jawatan KAN harus diteruskan oleh kerajaan negeri yang ada pada hari ini tanpa mengira latar belakang parti penyandang jawatan yang akan dilantik.


"Ini bukan soal politik, tetapi soal mengenai keperluan mengurus sistem adat masyarakat anak negeri. Saya telah katakan kepada Datuk Masidi bahawa tidak sesuai bagi KAN dari suku bangsa lain yang diberi peranan menguruskan sistem adat dan peraturan-peraturan anak negeri KDM di daerah ini," katanya.

Dalam pada itu, Ewon turut merakamkan penghargaan kepada Sylvester dan ahli-ahli parti yang terus memastikan kesinambungan perkhidmatan dan perjuangan UPKO di bahagian tersebut.


"Sylvester boleh menyertai mana-mana parti dalam kerajaan dan mungkin akan dilanjutkan jawatan sebagai KAN, tetapi beliau memilih terus kekal dalam parti UPKO. Ini menjadi contoh kepada semua ahli parti termasuk saya sendiri," katanya.


Dalam mesyuarat agung tersebut, Sylvester mengekalkan jawatan Ketua Bahagian UPKO Tawau bagi tempoh 2022-2025 selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan jawatankuasa bahagian.