top of page

Kaji Semula Kriteria eKasih

  • nabalunews
  • Mar 2
  • 1 min read

2 Mac 2025


SANDAKAN: Kerajaan perlu mengkaji semula kriteria pemberian eKasih dengan memperluaskan bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat musibah kebakaran atau banjir sehingga menyebabkan kehilangan tempat tinggal.


Ketua Wanita UPKO Pusat, Mohina Ronnie Sidom berkata, beliau menerima banyak aduan daripada individu yang berdepan kesukaran untuk mendapatkan bantuan kerana tidak tersenarai dalam program eKasih.


Katanya, mengikut rekod sehingga Februari lalu, terdapat 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) yang didaftarkan sebagai miskin dan miskin tegar dalam eKasih di negeri ini.


"Apabila berlaku bencana seperti kebakaran, ada yang tidak dapat menerima bantuan sewajarnya termasuk bantuan untuk membina semula atau membaik pulih rumah serta program pemberian rumah.


“Hal itu disebabkan mereka tidak tersenarai dalam daftar eKasih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mohina yang juga merupakan Ketua Bahagian UPKO Kinabatangan berkata, kerajaan harus menilai semula dan melonggarkan kriteria pemilihan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri ini.


Katanya, kerajaan negeri juga disarankan agar Program Rumah Mesra Rakyat Sabah Maju Jaya (SMJ), yang dilancarkan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), dilaksanakan secara telus.


“Kita perlu memastikan, rakyat yang terlibat dalam musibah ataupun kesusahan tetapi tidak tersenarai, turut diberi perhatian.


"Saya percaya, ramai lagi rakyat yang dalam berada keadaan sukar akibat musibah tetapi terpinggir kerana tidak tersenarai dalam eKasih," tambahnya.


Mohina berkata, usaha ini memerlukan kerjasama di semua peringkat antara pemimpin akar umbi dan agensi kerajaan.


Katanya, ia bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukan.

댓글


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page