top of page
nabalunews

Kajian perkasa usahawan wanita akan dilaksanakan – Tengku Zafrul

14 Oktober 2024


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menjalankan kajian bagi memperkasa peranan usahawan wanita dalam industri dan perniagaan di Malaysia.


Kajian ini bertujuan untuk memastikan kerajaan memiliki data yang relevan dalam membuat keputusan berkaitan golongan usahawan wanita.


Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata demikian semasa Majlis Makan Tengah Hari bersama Women in Trade and Industry (WITI) anjuran Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia) di ibu negara.


Menurut Tengku Zafrul, sesi libat urus ini sangat berharga untuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), khususnya dalam konteks WITI, kerana ia membuka peluang untuk berkongsi pandangan mengenai penambahbaikan dalam “She-economy.”


Dalam menyokong usahawan wanita, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Tengku menggalakkan penglibatan wanita dalam sektor baharu seperti tenaga boleh baharu, teknologi hijau, pembuatan termaju, dan industri berteknologi tinggi.


Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia juga akan memacu inisiatif untuk pembangunan usahawan wanita, selaras dengan tema ASEAN 2025, “Keterangkuman dan Kemampanan.” Malaysia akan mengambil langkah proaktif bagi mengetengahkan kesaksamaan jantina dalam keusahawanan dalam agenda ekonomi ASEAN.

Comments


bottom of page