Kajian undang-undang berkaitan isu 3R dibentang kepada kabinet minggu ini

25 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KEPALA BATAS: Kajian mengenai undang-undang berkaitan isu agama, raja dan kaum (3R) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet minggu ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institut) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata kajian itu melibatkan perbincangan dan dialog dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Badan Peguam, Kementerian Perpaduan dan Bahagian Undang-Undang.
"Kajian ini bukan membincangkan undang-undang baharu... saya jemput semua pihak untuk bincang hala tuju sebab ada yang berpendapat undang-undang sedia ada mencukupi.
"Namun ada juga kata perlu ada cara undang-undang lain seperti di Singapura dan Australia, sebenarnya Kabinet mengarahkan kami untuk terlibat dalam perbincangan tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Komunikasi Media MADANI: Komunikasi Strategik dan Digital di sini semalam.
Azalina berkata pembentangan kajian fasa pertama itu akan dilakukan secara menyeluruh sebelum sebarang ketetapan dibuat.
"Insya-Allah, pada mesyuarat Kabinet minggu ini saya akan bentangkan daripada kesimpulan perbincangan yang telah dijalankan... itu merupakan fasa pertama... perlukan banyak lagi perbincangan dengan pelbagai pihak," katanya.
Beliau juga berkata pihaknya perlu melihat secara menyeluruh termasuk aspek perpaduan dan jangka panjang termasuk elemen dalam politik yang menggunakan 3R jika mahu mewujudkan undang-undang baharu berkaitan 3R itu.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan mengkaji untuk mewujudkan akta baharu berdasarkan aspek sivil yang mungkin dinamakan Akta Negara Bangsa mirip Akta Keharmonian Kaum di Singapura dan cadangan itu dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet.
Comments