top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kajian untuk hubungkan Sabah, Sarawak, Kalimantan dengan rel dan udara dalam pertimbangan



26 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata kementerian beliau telah mengemukakan permohonan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk membina jaringan logistik melalui rel dan udara yang menghubungkan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.


Jelas beliau, ini adalah untuk memanfaatkan peluang pelaburan dan perdagangan yang terbuka dengan pemindahan ibu negara baharu Indonesia ke Kalimantan.


Menurut beliau, kajian itu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 Rolling Plan 4 (RMK12 RP4) dan sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Ekonomi.


"Kajian kebolehlaksanaan akan dijalankan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan kereta api di Sabah dan Sarawak adalah 'nilai untuk wang' serta memberi impak positif dari segi sosial dan ekonomi setempat," katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal RMK12 peringkat Kementerian Pengangkutan di Dewan Negara pada Isnin.


Ujar beliau, kementerian itu yakin pemindahan ibu negara baharu Indonesia dengan nama Nusantara dari Jakarta ke Kalimantan akan memberi kesan positif kepada jaringan logistik sama ada melalui udara atau rel di Sabah dan Sarawak.


Bagi laluan udara, beliau berkata pihaknya menggalakkan syarikat penerbangan tempatan atau asing untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi laluan antarabangsa secara terus dengan mengambil kira beberapa langkah, antaranya rundingan dua hala dengan negara-negara asing pada setiap tahun bagi mewujudkan atau meningkatkan hak trafik penerbangan antara Malaysia dan negara-negara tersebut.


Tambah Hasbi, langkah lain yang perlu diberi perhatian adalah meliberalisasikan bandar-bandar tertentu di Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Pelbagai Hala ASEAN mengenai Liberalisasi Penuh Perkhidmatan Penumpang.


"Melalui perjanjian yang ditandatangani dan diratifikasi oleh Malaysia ini, syarikat-syarikat penerbangan negara-negara ASEAN dibenarkan untuk mengadakan penerbangan di antara mana-mana destinasi ASEAN, tanpa had kekerapan, kapasiti dan jenis pesawat," katanya.


Kerajaan juga akan menawarkan pelbagai insentif menerusi Program Insentif Syarikat Penerbangan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad kepada syarikat penerbangan luar negara yang beroperasi ke mana-mana lapangan terbang negara termasuk bandar-bandar utama Sabah dan Sarawak.

Comentarios


bottom of page