top of page
Wartawan Nabalu News

Kami tidak boleh terima kerajaan pintu belakang - Ewon


8 Januari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Bakal presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mengulangi pendiriannya untuk tidak menyokong sebarang bentuk ‘Langkah Sheraton’.


Beliau berkata semua wakil Pakatan Harapan (PH) Sabah secara kolektif tidak bersetuju dengan sebarang usaha untuk menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.


“Saya telah memberikan pandangan saya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam semasa mesyuarat majlis presiden PH.


“Saya telah menyatakan pendirian kita dengan jelas, bahawa kita tidak mahu ada usaha untuk menjatuhkan Ketua Menteri sekarang. Kami tidak boleh menerima mana-mana kerajaan pintu belakang,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertemuan dengan Hajiji di kediaman rasmi Ketua Menteri di Seri Gaya, hari ini.


Mesyuarat itu dihadiri kesemua ADUN dari PH Sabah iaitu Datuk Christina Liew (Api-Api), Datuk Frankie Poon Ming Fung (Tanjung Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan), Tan Lee Fatt (Likas), Peto Galim (Inanam), dan Ewon (Kadamaian) serta GRS dan BN Sabah.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, Anwar menghormati pendirian kesemua Adun PH Sabah.


“Ini adalah prinsip yang sangat penting bagi kami,” katanya.

Comments


bottom of page