Kampung Angkat MADANI meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial penduduk setempat di Kampung Kiau
19 Oktober 2024
KOTA BELUD : Program Kampung Angkat Madani diperkenalkan untuk mencari kaedah terbaik memudah cara dan mempercepat pelaksanaan projek kecil di kampung, bagi merapatkan jurang kemudahan asas dan bandar.
Program ini memberi tumpuan kepada 42 kampung di seluruh negara, dengan skop utama merangkumi aspek sosial, ekonomi, serta pembangunan fizikal dan sosial. Ia termasuk penambahbaikan jalan-jalan pertanian dan pelancongan yang berpotensi menjana ekonomi setempat.
Dengan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk setiap kawasan, tumpuan utama adalah untuk meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan Kampung Angkat MADANI, selaras dengan usaha membasmi kemiskinan.
Di Kadamaian, pelancaran rasmi Kampung Angkat MADANI dijadualkan berlangsung pada 8 Disember ini di Kampung Kiau yang terletak di kaki Gunung Kinabalu dan terkenal sebagai antara destinasi pelancongan luar bandar di Sabah.
Kampung Kiau dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick kerana menyedari masih banyak keperluan dan pembangunan yang diperlukan di sini.
Ewon berharap pemilihan kampung ini sebagai Kampung Angkat MADANI akan melengkapkan kemudahan sedia ada di Mukim Kiau seterusnya menjadi sebahagian daripada penyelesaian masalah dan keperluan penduduk kampung terutamanya berkaitan isu-isu pembangunan kampung.
Menurut Ewon, KUSKOP akan menjadi peneraju pembangunan Kampung Kiau selaku kampung angkat.
Majlis pelancaran Kampung Kiau sebagai Kampung Angkat MADANI pada 8 Disember ini akan dilangsungkan serentak dengan perasmian Tamu Desa Kampung Kiau dan penyerahan geran Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).
Bagi memastikan program pelancaran rasmi Kampung Angkat Madani di Kiau berjalan dengan baik, satu sesi taklimat penyelarasan program berkenaan telah diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Kiau Teburi dan melibatkan pelbagai agensi dan wakil tempatan, hari ini.
Program taklimat ini dipengerusikan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dr. Rizoh Bosorong bersama-sama dengan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Saikom Watis, Penyelia Unit Pemimpin dan Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Joel Deukin dan Pemaju Mukim UPPM Kadamaian, Anichlose Kesimin.
Antara yang telah dibincangkan termasuklah cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kiau Nuluh bagi penambahbaikan jalan ke rumah-rumah dan jalan pertanian untuk memudahkan akses.
Charles Delinsing dari KDCA Kiau menekankan kepentingan memelihara tradisi dan menambahbaik infrastruktur asas bagi kesejahteraan penduduk Kampung Kiau.
Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kiau menekankan kepentingan pendidikan dan kokurikulum, serta penyediaan laluan pejalan kaki yang selamat untuk murid-murid prasekolah. Selain itu, projek untuk menaik taraf sistem paip air graviti di sekolah juga diusulkan.
Pembinaan papan tanda, pondok, serta jalan lorong ke kawasan Bombon dicadangkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan dan mempromosikan pelancongan berasaskan komuniti.
Wakil dari Guas Nabalu Homestay turut membincangkan peluang memperkasakan sektor pelancongan dan kebudayaan di Kampung Kiau melalui pembangunan produk pelancongan yang mampan dan berdaya saing.
Keseluruhannya, program ini bertujuan untuk menyelaraskan usaha-usaha pembangunan yang komprehensif di kawasan Kampung Angkat MADANI, dengan matlamat jangka panjang meningkatkan kesejahteraan ekonomi dan sosial penduduk setempat.
Comments