Kampung Melangkap baru dipilih lokasi Program Penanda Aras Upaya@PUJI Labuan dan Integrasi Sosioekonomi Nasional

3 November 2024
KOTA BELUD: Kampung Melangkap Baru, Kota Belud dipilih sebagai contoh kejayaan dalam pembangunan sosioekonomi desa di Sabah.
Pada Sabtu, 2 November lalu, Kampung Melangkap Baru menjadi lokasi penganjuran Program Penanda Aras Peserta Upaya@PUJI Labuan dan Integrasi Sosioekonomi Nasional yang diadakan dengan kerjasama komuniti kampung berkenaan.
Sebagai rekod, Program Usaha Jaya Insan (PUJI) merupakan jalan keluar buat keluarga miskin tegar di Wilayah Persekutuan.
Inisiatif PUJI kini menjadi salah satu strategi kerajaan bagi mengatasi kemiskinan tegar di Wilayah Persekutuan.
Melalui inisiatif Upaya@PUJI itu, program pendayaupayaan dan penjanaan pendapatan dilaksanakan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang menjadi ‘exit strategy’ atau strategi keluar yang dapat mengeluarkan peserta daripada kemiskinan tegar secara tuntas.
Namun kini, program ini dibawa ke luar Wilayah Persekutuan untuk melihat sendiri kejayaan Kampung Melangkap Baru di Kota Belud dalam pembangunan sosioekonomi desa untuk dijadikan contoh.
Model Upaya@PUJI ini menampilkan
Institut Agro Usahawan (IGROW) dan YSS sebagai rakan strategi.
Majlis ini dirasmikan oleh Ketua Pegawai Perhubungan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin, yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Dalam ucapan yang disampaikan Carlye, Ewon menzahirkan penghargaan kepada IGROW kerana memilih Kampung Melangkap Baru sebagai lokasi program ini.
Beliau turut berbangga kerana program ini menonjolkan Kampung Melangkap Baru sebagai contoh kejayaan dalam pembangunan sosioekonomi, selain menjadi perintis usaha menyatukan rakyat dari Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Labuan melalui aktiviti sosioekonomi yang berunsurkan perpaduan.
Menurut Ewon, sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beliau melihat penekanan keusahawanan dalam program Upaya@PUJI ini sebagai langkah tepat yang selari dengan hasrat Kementeriannya untuk menggunakan keusahawanan sebagai strategi membasmi kemiskinan.
Beliau turut menyatakan program ini berpotensi memperkukuhkan sektor pemasaran dan pelancongan di kampung tersebut, sekaligus mewujudkan semangat kebersamaan di kalangan rakyat Malaysia.
Ewon juga menyatakan rasa bangganya kerana kawasan DUN Kadamaian dipilih sebagai lokasi program ini, yang dianggap sebagai bonus dalam memperluaskan inisiatif keusahawanan dalam usaha membasmi kemiskinan dan melahirkan usahawan berdaya saing.
Dengan model Upaya@PUJI yang menampilkan IGROW dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) sebagai rakan strategik, beliau berharap aktiviti keusahawanan ini dapat diperluaskan ke skala yang lebih besar.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), katanya, bersedia untuk bekerjasama demi mencapai matlamat tersebut.
Program Usaha Jaya Insan (PUJI) ini dirancang untuk meningkatkan pendapatan ketua isi rumah dan ahli keluarga melalui latihan kemahiran dan peluang pekerjaan.
Antara modul kursus yang ditawarkan termasuk asas makanan hidangan utama yang memberikan kemahiran asas dalam penyediaan hidangan utama, meningkatkan kemahiran memasak peserta dan membuka peluang dalam industri makanan.
Kursus dandanan rambut yang memberi latihan dalam dandanan rambut untuk mereka yang berminat dalam bidang kecantikan dan perkhidmatan pelanggan.
Kursus asuhan kanak-kanak yang menyediakan pengetahuan dan kemahiran dalam menjaga kanak-kanak, sesuai untuk mereka yang berminat dalam perkhidmatan penjagaan anak.
Kursus asas pendawaian yang menyediakan latihan asas dalam pendawaian elektrik dan membuka peluang untuk peserta bekerja dalam bidang teknikal dan pembaikan.
Kursus jahitan pakaian.yang melatih peserta dalam kemahiran menjahit dan membolehkan mereka membuat pakaian atau menceburi bidang fesyen.
Seni Kreatif yang menawarkan peluang untuk peserta menghasilkan produk kreatif dan unik bagi pasaran tempatan.
Program PUJI ini bertujuan memperkasa komuniti dengan menyediakan latihan praktikal yang boleh membantu meningkatkan sumber pendapatan secara berterusan.
Melalui inisiatif seperti ini, diharap dapat melahirkan masyarakat yang lebih berdaya saing dan berdaya maju, sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup serta pembangunan sosioekonomi komuniti di peringkat nasional.
Comments