Kampung Pangi perlukan klinik kesihatan
- Wartawan Nabalu News
- Aug 13, 2024
- 2 min read

13 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TENOM: Kampung Pangi yang terletak kira-kira 12 kilometer dari Pekan Tenom memerlukan kemudahan klinik kesihatan bagi membolehkan penduduknya mendapatkan rawatan awal.
Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin berkata selain Kampung Pangi, satu lagi penempatan penduduk iaitu Kampung Rayoh juga belum dilengkapi kemudahan klinik kesihatan.
Katanya, meskipun jarak kampung berkenaan terletak tidak terlalu jauh dari Pekan Tenom, namun jalan perhubungan yang ada ketika ini hanyalah menggunakan keretapi, itu pun operasinya dua kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.
"Perkara ini saya sudah bentang dan debatkan di Parlimen bahawa kawasan Pangi ini memerlukan klinik kesihatan dan juga kita telahpun bawa pada Mesyuarat Tindakan Daerah" katanya ketika ditemui pada Majlis Konvoi Kembara Jalur Gemilang di Kampung Pangi dekat sini, hari ini.
Jelasnya, Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah bersetuju untuk menyediakan tapak untuk pembinaan bangunan klinik kesihatan di Kampung Pangi.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap agar pihak yang berkenaan dapat mempertimbangkan pembinaan kemudahan klinik kesihatan ini bagi memudahkan penduduk Kampung Pangi dan Rayoh mendapatkan perkhidmatan dan rawatan kesihatan.
Terdahulu dalam ucapannya, Riduan mengingatkan masyarakat khususnya golongan muda agar sentiasa bersyukur dengan kemakmuran dan keamanan yang dikecapi pada hari ini hasil perjuangan pemimpin-pemimpin terdahulu.
Selain itu katanya, perpaduan masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan yang berlandaskan Perlembagaan di negara ini juga perlu dipertahankan.
"Hayatilah makna kemerdekaan dan Prinsip Rukun Negara yang telah menjadi asas kepada kemakmuran, keamanan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan di negara ini" katanya.
Sementara itu Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisiah Mohd Noor berkata, Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi adalah persinggahan yang ke 18 daripada 60 destinasi Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Sabah.
Katanya, Kampung Pangi dipilih sebagai salah satu destinasi persinggahan konvoi kerana kampung inilah yang satu-satunya dihubungkan melalui pengangkutan keretapi.
"Selain itu kita juga memikirkan bahawa penduduk dan murid-murid di kampung terpencil ini juga perlu mendapatkan informasi-informasi dan dasar-dasar kerajaan" katanya.















Comments