Kampung Sentosa, Blok 4 bakal diwartakan
- nabalunews
- Aug 5, 2024
- 1 min read

5 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) akan membantu usaha untuk mewartakan Kampung Sentosa, Blok 4 di sini sebagai sebuah perkampungan sah, dalam masa terdekat.
Presiden Harapan Rakyat, Brigadier Jeneral (B) Tan Sri Liew Yun Fah berkata, status perkampungan tersebut sepatutnya sudah lama diwartakan memandangkan hampir semua penduduknya adalah warganegara Malaysia selain tapak kampung itu adalah milik kerajaan negeri dan bukannya kawasan hutan simpan kelas pertama.
Katanya, pihaknya telahpun membawa perkara itu ke pengetahuan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk tindakan dan kelulusan pada kadar segera.
Beliau percaya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan dapat menjaga hak-hak yang sepatutnya dinikmati penduduk tempatan.
Liew berkata, pewartaan kampung Kampung Sentosa, Blok 4 sangat penting kerana penempatan itu sudah lama wujud di daerah ini, malah penduduknya terdiri daripada penduduk tempatan yang sudah tinggal di sana sejak beberapa generasi.
"Penempatan ini tidak sama dengan perkampungan setinggan lain kerana bukan terletak di kawasan pesisir pantai yang diarah untuk dikosongkan," katanya sempena Majlis Ramah Mesra Harapan Rakyat Bersama Pemimpin di kampung itu, semalam.
Turut hadir, Naib Presiden Harapan Rakyat, Datuk Supardianshah Suyuti dan Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bangsa Toraja Sabah, Ishak Martin.
Pada majlis sama, Liew yang juga Pengerusi Kumpulan DESA turut menyampaikan 300 bakul makanan kepada penduduk kampung.
Beliau turut menyumbangkan RM5, 000 kepada Persatuan Kebudayaan dan Kebajikan Bangsa Toraja Sabah serta menerima kemasukan 166 ahli baharu Harapan Rakyat dalam kalangan ahli persatuan tersebut.















Comments