top of page

Kampung Terintidon terima manfaat Program Latihan Tapak dan Khidmat Komuniti PKK

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

ree

24 Ogos 2025


KOTA BELUD: Program Latihan Tapak dan Khidmat Komuniti (PLTKK) anjuran Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) berjaya memberi manfaat kepada penduduk Kampung Terintidon di sini, apabila Balai Raya kampung tersebut siap dibaik pulih.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, inisiatif itu adalah pendekatan kerajaan untuk memperkasa kontraktor Bumiputera di samping memberi nilai tambah kepada komuniti setempat.


“Melalui PLTKK, kontraktor Bumiputera berpeluang mengikuti latihan teknikal secara praktikal sambil menambah kemahiran dan memperoleh mata CCD daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

ree

“Pada masa yang sama, kemudahan komuniti dapat dibaik pulih untuk kegunaan penduduk,” katanya ketika berucap pada Majlis Bertemu Mesra Menteri KUSKOP bersama penduduk Kampung Terintidon dan kontraktor Bumiputera daerah Kota Belud, di sini hari ini.


Ewon berkata, Balai Raya Kampung Terintidon bukan sahaja dibaik pulih tetapi turut dilengkapi lampu solar, manakala dinding, tingkap dan kemudahan lain dicat semula untuk memberi keselesaan kepada penduduk yang melibatkan dana sebanyak RM50,000.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek itu dan berharap kemudahan yang telah dibaik pulih dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta dijaga dengan baik.

ree

Setakat 31 Julai lalu, sebanyak 2,622 syarikat kontraktor Bumiputera Sabah telah berdaftar dengan PKK dan menerima Sijil Taraf Bumiputera, termasuk 1,123 kontraktor gred G1.


Ewon berkata, usaha berterusan PKK dalam memperkasakan kontraktor Bumiputera serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan komuniti adalah bukti komitmen kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.


Pada program itu, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) turut mengadakan Jualan Madani Koperasi dan Usahawan (JMKU), menawarkan potongan harga 50 peratus iaitu 30 peratus dibiayai oleh SKM dan 20 peratus lagi akan dibiayai Pejabat Adun Kadamaian bagi barangan keperluan asas seperti beras, tepung dan minyak masak.


“JMKU bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat melalui tawaran harga berpatutan, malah memperluas pasaran produk usahawan dan koperasi tempatan,” katanya.


Selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Ewon turut menyampaikan peruntukan Sentuhan Kasih sebanyak RM26,000 bagi membiayai pelbagai keperluan di kampung ini termasuk pembinaan pondok tandas, pondok tagal, pintu masuk pagar balai raya, dapur gereja dan pembinaan titian konkrit.

Commentaires


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page