top of page
nabalunews

Kanak-kanak 19 bulan derita kanser ovari, keluarga perlukan bantuan


10 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Seorang ibu muda menanggung kesedihan yang tidak terhingga apabila anak perempuannya yang berusia 19 bulan, Daneen Auni Riksi, disahkan menghidap kanser ovari tahap tiga, satu situasi ini sangat jarang berlaku di kalangan kanak-kanak seusianya.


Diagnosis itu dibuat setelah kanak-kanak tersebut mengalami kesukaran membuang air besar dan perut yang kembung sejak beberapa bulan lalu.


Daneen kini dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) dan dijadualkan menjalani rawatan kimoterapi dalam masa terdekat.


Ibunya, Fallarystia Sintom, 25, mengakui dia terkejut dengan diagnosis tersebut kerana penyakit ini biasanya menyerang wanita yang lebih dewasa.


"Tidak sangka anak saya yang belum berusia dua tahun menghidap kanser ovari. Biasanya, penyakit ini dialami oleh wanita yang berusia 40 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.


Fallarystia turut menambah bahawa anaknya telah dibedah pada minggu lalu untuk membuang ovari sebelah kanan yang rosak akibat ketumbuhan sebesar 13.50 sentimeter.


Menurutnya, penyakit ini mula dikesan pada Ogos lalu apabila Daneen sering mengalami kembung perut dan sembelit.


Pada masa yang sama, perutnya semakin membesar dan dia menjadi tidak aktif seperti biasa. 


"Dia hanya menangis apabila perutnya sakit dan semakin enggan berjalan, hanya mahu didukung," tambah Fallarystia.


Keadaannya bertambah serius apabila bacaan darah Daneen turun secara mendadak pada 28 September lalu, menyebabkan dia segera dirujuk ke HWKKS.


Hasil pemeriksaan lanjut mendedahkan adanya ketumbuhan serta pendarahan, dan Daneen segera menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan tersebut.


Selepas pembedahan, doktor mengesahkan bahawa ketumbuhan itu adalah kanser ovari.


Fallarystia meletakkan harapan kepada rawatan perubatan dan doa, sambil menyatakan bahawa doktor memberi jaminan bahawa penyakit ini boleh dirawat melalui kimoterapi. 


"Doktor berkata, selagi ada rawatan, ada harapan. Saya juga terus berdoa agar anak saya diberikan kesembuhan," ujarnya.


Bagaimanapun, keluarga tersebut kini berdepan kesukaran dari segi kewangan dan logistik.


Fallarystia menjelaskan bahawa dia dan suaminya, Riksi Tahir, 25, seorang anggota bomba di Kudat, menghadapi cabaran untuk berulang-alik ke hospital kerana mereka tidak mempunyai kenderaan sendiri.


Fallarystia terpaksa menumpang di rumah mentuanya di Pekan Goshen yang lebih dekat dengan hospital.


Dalam pada itu, Riksi yang bekerja di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat mengakui dia buntu dengan kos rawatan yang semakin meningkat.


Setakat ini, pihak hospital belum memberikan anggaran tepat bagi kos pembedahan dan rawatan kimoterapi yang perlu dijalani oleh anaknya.


Dia juga tidak dapat selalu bersama isteri dan anaknya di Kota Kinabalu kerana tuntutan kerja di Kudat.


"Kami kini memerlukan bantuan kewangan bagi menampung kos perubatan dan rawatan anak kami yang sedang berjuang melawan kanser ovari tahap tiga," kata Riksi.


Bagi mereka yang ingin menghulurkan sumbangan, sumbangan ikhlas boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1200241000113103 atas nama Riksi Tahir.


Mereka juga boleh menghubungi pasangan tersebut melalui talian 010-7644532 (Riksi) atau 010-2608905 (Fallarystia).

Comments


bottom of page