Kanak-Kanak Ditemui Mati Dalam Kereta Rosak
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

22 November 2025
LABUAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun ditemui mati di dalam sebuah kereta rosak yang ditinggalkan di sebuah bengkel, di kawasan Perindustrian Kampung Muslim, di sini, hari ini.
Mayat kanak-kanak terbabit ditemui jam 8.45 pagi oleh seorang mekanik ketika cuba mengalihkan kereta Proton Gen2 yang tersadai di belakang premis berkenaan sejak bulan Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, hasil siasatan awal mendapati, mayat mangsa ditemui selepas mekanik terbabit terhidu bau kurang menyenangkan dari dalam kereta.

Katanya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian kemudiannya mengesahkan kematian mangsa sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Labuan untuk proses bedah siasat.
“Mangsa dikenali sebagai Budin Jimsalim, berbangsa bajau dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
“Proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengenalpasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Hamizi menegaskan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta tampil untuk membantu siasatan.
Katanya, setakat ini, tiada sebarang unsur jenayah dikesan namun siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh Pegawai Penyiasat Balai Polis Rancha-Rancha, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan.
“Pihak polis turut mengumpul keterangan saksi serta meneliti semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Hamizi menasihati masyarakat agar lebih peka terhadap pergerakan kanak-kanak di bawah jagaan terutamanya mereka yang mempunyai keperluan khas atau kecenderungan keluar rumah tanpa pengawasan.


















Comments