Kanak-Kanak Perempuan 10 tahun ditemukan lemas di Sungai Kampung Piasau
8 Disember 2024
KOTA BELUD : Seorang kanak-kanak perempuan berusia sepuluh tahun dikenali Lysabeth Fharelynne Tom Jones, yang hilang ketika mandi manda di Sungai Kadamaian, berhampiran Tamu Sosondoton View, Kampung Piasau, di sini, petang semalam, ditemui lemas, pagi tadi.
Mangsa ditemui pasukan penyelamat dan penduduk kampung pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua pada jam 8.36 pagi tadi kira-kira 600 meter dari lokasi dia di dilaporkan hilang.
Seterusnya mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata operasi mencari hari kedua dimulakan jam 8.10 pagi bersama agensi penyelamat yang lain.
Kanak-kanak malang itu dilaporkan hilang kira-kira jam 2.20 petang semalam ketika mandi manda di sungai berkenaan bersama 3 lagi rakan sebayanya.
Muhammad Syazwan berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 2.41 petang, semalam.
Katanya, sepasukan sepuluh pegawai san anggota dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian dan menjalankan operasi mencari di sekitar sungai berkenaan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air dan selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
'Operasi memasuki hari kedua pada pagi ini menemukan mangsa dengan jarak kira-kira 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Comments