Kanak-Kanak Rentung Dipercayai Masuk Semula Ke Dalam Rumah Terbakar
- nabalunews
- Feb 10
- 1 min read

10 Februari 2026
KENINGAU: Mangsa kanak-kanak rentung dalam kebakaran melibatkan dua rumah di Kampung Patau, Tambunan, di sini, pagi tadi, dipercayai masuk semula ke rumah tanpa disedari selepas diselamatkan.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia enam tahun dikatakan sudah diangkat keluar oleh ibu saudaranya yang berusia 31 tahun sejurus selepas kebakaran bermula.
Bagaimapun, dalam keadaan kelam kabut, mangsa dipercayai kembali masuk ke rumah sebelum ditemui terperangkap di dalam bilik rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan tidur di bilik bersama dengan ibu saudaranya.
Katanya, sebaik menyedari kejadian berlaku, ibu saudara mangsa terus mengangkatnya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
“Bagaimanapun, dalam keadaan kelam kabut, mangsa dipercayai naik semula ke dalam rumah berkenaan tanpa disedari ahli keluarga.
“Mangsa yang belajar di Pra Sekolah SK Patau itu kemudiannya dipercayai terperangkap sebelum ditemui rentung,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Yampil berkata, siasatan awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) percaya api kebakaran berpunca dari atas rumah dan merebak cepat disebabkan keadaan rumah kayu jenis separuh kekal.
Bagaimanapun katanya, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam tindakan siasatan pihak forensik bomba.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.08 pagi.
Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 16 kilometer dari BBP Tambunan.
“Kebakaran turut memusnahkan tiga kenderaan iaitu Toyota Avanza, Perodua Alza dan sebuah van.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.40 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi,” katanya.















Comments