Kapal tangki bawa 8,000 liter petrol tanpa kebenaran ditahan
- nabalunews
- Sep 25, 2024
- 1 min read

25 September 2024
SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan menahan sebuah vesel tangki membawa 8,000 liter petrol tanpa surat kebenaran yang sah, baru-baru ini.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihak Maritim Malaysia yang sedang menjalankan Op Pluto Timur dan Op Khas Cegah PATI dan Op Tiris telah mengesan vesel tersebut pada pukul 4 pagi hari berkenaan ketika sedang menuju ke Telukan Sandakan.
Hasil pemeriksaan, vesel itu dikendalikan oleh seorang warga tempatan berumur 72 tahun dibantu lima orang anak kapal warga tempatan dan warga asing berumur 33 hingga 41 tahun yang mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Vesel tangki dengan muatan 8,000 liter minyak petrol itu ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, iaitu membawa barang kawalan tanpa kebenaran atau dokumen yang sah dan Akta Kastam 1967 kerana mengemukakan dokumen yang meragukan.
Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau salah laku di perairan negara, boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau hubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.
Comments