top of page

Karnival Bahasa dorong kesedaran pelestarian Bahasa Kadazandusun - Madius

  • nabalunews
  • Apr 30
  • 3 min read


ree

30 April 2025


TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menyeru agar usaha pelestarian Bahasa Kadazandusun terus diperkasa menerusi penganjuran program seperti Karnival Bahasa Kadazandusun Zon Nabalu yang berlangsung di SK Tomis, di sini, hari ini.


Madius berkata, acara sedemikian amat penting dalam menyemai kesedaran masyarakat terhadap kepentingan mempertahankan bahasa ibunda agar tidak pupus, terutama dalam kalangan generasi muda.


“Karnival ini sangat penting kerana ia mengingatkan kita tentang betapa perlunya menggunakan bahasa ibunda dalam komunikasi.


“Jika kita tidak bertindak sekarang, bahasa ibunda kita mungkin akan pupus,” katanya ketika merasmikan karnival itu.


Madius menambah, mengikut kajian UNESCO, terdapat 7,000 bahasa ibunda bersifat tempatan yang terancam kepupusan malah akan menjadi bahasa mati akibat tidak ada lagi penutur dan setibanya tahun 2050, 90 peratus daripada bahasa berkenaan akan benar-benar pupus seperti bahasa Sanskrit dan bahasa Latin.”


Madius turut berkongsi pengalaman panjang dan mencabar dalam perjalanan memperjuangkan Bahasa Kadazandusun yang bermula sejak tahun 1986 ketika mula dipilih sebagai Ahli Majlis Tertinggi KDCA dan seterusnya dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bahasa dan Sastera KDCA.


“Antara usaha utama yang digerakkan pada ketika itu ialah pembangunan Kamus Bahasa Kadazandusun dan pemilihan dialek standard untuk digunakan dalam sistem pendidikan Malaysia.


“Kita mulakan pada 1986 tetapi bukanlah senang. Akhirnya pihak Institute for Development Studies (IDS) Sabah mengabdikan seorang Pegawai Penyelidik, sahabat sepejabat saya Alice Jekop, pada 1988 mengetuai Pasukan Penyelidik.


“Terlalu banyak mereka yang memberi sumbangan bakti seperti Ben Topin, Rita Lasimbang dan beberapa lagi. Pendek cerita kamus ini hanya dicetak pada tahun 1995. Mengambil masa hampir 10 tahun. Terima kasih kepada semua yang terlibat.


“Kamus ini dibangunkan berasaskan Kamus Kadazan oleh Fr. Antonissen dengan bantuan pelbagai pihak terutama sekali Summer Institute of Linguistics (SIL). Walaupun mengambil masa yang lama, ia akhirnya berjaya disiapkan,” katanya.


Simposium Bahasa Kadazandusun yang diadakan di Perkasa Hotel, Kundasang dengan bantuan kewangan Canadian University Students Overseas (CUSO) pula menjadi asas penyatuan penggunaan dialek Bundu dan Liwan sebagai teras kepada Bahasa Kadazandusun hari ini.


Madius menambah, sangat menarik kerana pada ketika kamus Kadazan itu di cetak, maka pada tahun yang sama ia itu tahun 1995 juga, persetujuan antara KDCA dan USDA menjadikan dailek “Bundu “ dan “ Liwan” ataupun “Bunduliwan” itu dijenamakan sebagai Bahasa Kadazandusun.


“Kini, Bahasa Kadazandusun sudah menjadi salah satu subjek yang diajar dalam sistem pendidikan negara. Ramai telah bergraduasi dengan pengkhususan dalam bahasa ini di peringkat PHd, Sarjana dan Sarjana Muda dan ribuan pelajar sedang mempelajarinya dari Tadika, Tahun Satu hingga ke peringkat SPM,” tambah beliau.


Sebagai Ahli Parlimen Tuaran, beliau menyatakan kesediaan untuk memberi sokongan penuh kepada usaha guru-guru di daerah tersebut menubuhkan ‘Tinimungan Manampasi Boros Kadazandusun (TIMBOK)’.


“Ia adalah inisiatif memperkukuh pengajaran dan pembelajaran bahasa tersebut serta memberi ruang kesinambungan para para pesara guru-guru Bahasa Kadazandusun terus bergiat dalam penulisan, penyelidikan dan apa juga aktiviti untuk melestarikan bahasa tersebut,” katanya.


Sementara itu, dalam ucapannya, Madius turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran karnival, khususnya PPD Tuaran dan SK Tomis selaku tuan rumah.


Tema karnival tahun ini, “Apasi Boros, Apasi Tinaru” (Hargai Bahasa, Hargai Budaya) disifatkannya sangat bertepatan dengan matlamat untuk menanam rasa cinta terhadap bahasa dan budaya sendiri.


Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan yang bakal tiba, yang tahun ini bertemakan “Kaamatan Untuk Semua”, sebagai simbol perpaduan merentas latar belakang.


“Perayaan ini bukan saja penting dari sudut kebudayaan, tetapi juga sebagai platform untuk menyatukan masyarakat dan memperkenalkan adat serta tradisi kita kepada generasi baharu,” katanya.


Beliau menegaskan komitmen Kerajaan untuk terus menyokong pendidikan bahasa ibunda dan mempromosikan program-program kebudayaan demi memastikan warisan bangsa tidak luput ditelan zaman.


“Saya percaya perpaduan kita sebagai satu komuniti akan membawa keharmonian dan mengukuhkan identiti kita sebagai bangsa yang menghargai budaya, adat dan tradisi,” katanya, mengucapkan tahniah kepada Zon Nabalu dan SK Tomis atas kejayaan menganjurkan karnival tersebut dan menyeru semua pihak agar terus memainkan peranan dalam memelihara bahasa dan budaya Kadazandusun.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page