Karnival Makanan perlu diperbanyakkan dan diperluaskan ke seluruh Sabah khususnya di pekan kecil
4 November 2024
SANDAKAN: Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, menyarankan agar penganjuran karnival makanan diperluas dan diperbanyakkan di seluruh negeri, khususnya di pekan-pekan kecil di Sabah.
Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja mampu merangsang ekonomi setempat tetapi juga berpotensi memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan sepanjang karnival tersebut.
Katanya dengan pelaksanaan karnival ini, lebih ramai usahawan tempatan dapat memanfaatkan peluang untuk mempromosikan produk mereka, sekaligus menggalakkan pertumbuhan ekonomi komuniti setempat.
Tambahnya, mengambil contoh penganjuran Little Hong Kong Food Fair oleh pihak Junior Chamber International (JCI) Sandakan, ia dilihat mampu memberi pulangan ekonomi kepada peniaga yang menyertai program itu.
Jelasnya, konsep "Vendor Economy" yang menampilkan pelbagai usahawan makanan dan lain-lain produk jualan dalam satu program dapat mewujudkan peluang pendapatan kepada peniaga terbabit, sesuai dengan produk yang mereka hasilkan.
Phoong menyatakan perkara itu pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Little Hong Kong Food Fair anjuran Junior Chamber International (JCI) Sandakan di Kompleks Sukan Sandakan pada Ahad yang disertai 80 peniaga dari Sandakan, Lahad Datu, Tambunan dan daerah lain di Sabah.
Katanya penganjuran karnival makanan kali kedua ini turut mendapat kerjasama dari Pusat Khidmat Parlimen Sandakan dan Persatuan Harapan Dinamik Sabah.
Turut hadir, Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, Presiden JCI Sandakan, Kenny Lee dan Pengerusi Penganjur karnival, Michael Chang.
Selain jualan makanan dan aksesori, karnival itu turut diisi dengan pelbagai acara persembahan serta pertandingan tarian singa peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang menarik kira-kira 2,000 pengunjung.
Dalam pada itu, Phoong berkata, kementeriannya juga menyediakan dana untuk program keusahawanan seumpama ini bagi memberi galakan kepada orang muda melaksanakan program yang dapat meningkatkan ekonomi setempat.
Beliau juga memuji usaha JCI Sandakan dan penganjur bersama yang telah menjayakan karnival 3 hari itu.
Katanya karnival ini memperlihatkan suasana harmoni dan kebersamaan masyarakat yang berkunjung ke acara itu.
Comments