Karnival TEKUN di Kadamaian Square jana jualan usahawan lebih RM152,000
- Wartawan Nabalu News
- May 18
- 2 min read

18 Mei 2025
KOTA KINABALU: Karnival TEKUN MADANI yang diadakan selama tiga hari di Kadamaian Square, Kota Belud berjaya mencatatkan jumlah jualan melebihi RM152,000, sekali gus membuktikan keberkesanan program dalam merancakkan aktiviti ekonomi usahawan tempatan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, karnival yang berlangsung dari 15 hingga 17 Mei itu berjaya menarik penyertaan pelbagai pihak termasuk 48 gerai TEKUN, 94 gerai persatuan, jualan MADANI Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Pasar Tamu serta penyertaan usahawan menerusi platform digital TikTok Shop.
“Jumlah jualan keseluruhan sepanjang tiga hari karnival ini mencecah lebih RM152,000, iaitu lebih RM34,000 pada hari pertama, RM47,088.30 pada hari kedua dan RM71,037.05 pada hari ketiga,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Ewon berkata, penglibatan TikTok Shop sebagai rakan strategik TEKUN Nasional merupakan pemangkin kepada kejayaan penganjuran karnival ini, khususnya dalam membantu usahawan mikro menembusi pasaran digital.
“Saya gembira kerana Karnival TEKUN MADANI di Kota Belud ini dapat membuka banyak peluang perniagaan kepada usahawan tempatan, selain menyaksikan peningkatan keupayaan mereka dalam penggunaan platform digital untuk pemasaran,” katanya.
Karnival ini merupakan salah satu inisiatif TEKUN Nasional di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk menyediakan platform pemasaran, perkongsian maklumat keusahawanan serta memperkenalkan pelbagai bentuk sokongan seperti latihan, geran dan pembiayaan kepada usahawan informal dan mikro.
Beliau berkata, jumlah terkumpul sepanjang kempen jualan TikTok Shop dari 1 Januari hingga 15 Mei 2025 sebanyak RM366,000.
Pada tahun 2024, sebanyak lima siri Karnival TEKUN MADANI berjaya dianjurkan di beberapa lokasi strategik seluruh negara, termasuk di Kota Damansara, Selangor; Kuala Penyu, Sabah; Seberang Perai, Pulau Pinang; Morib, Selangor dan Semenyih, Selangor.
Secara keseluruhan pada tahun lalu, siri karnival Tekun berjaya menjana jualan berjumlah RM5.8 juta, hasil penglibatan aktif usahawan serta sokongan strategik daripada rakan kerjasama seperti TikTok Shop Malaysia.
Comentarios