Penjawat awam miliki rumah bertanah disaran tanam sayur
- nabalunews
- 14 minutes ago
- 1 min read

13 Mac 2026
PUTRAJAYA: Penjawat awam yang memiliki kediaman atas tanah seperti rumah teres atau kampung disaran memulakan tanaman sayur sebagai langkah proaktif menghadapi kemungkinan gangguan bekalan makanan global.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu juga sebagai usaha awal meningkatkan pengeluaran makanan di peringkat komuniti.
Menurut beliau, tanaman yang disyorkan ialah jenis yang cepat dituai seperti cili, terung dan kucai.
“Saya akan mengarahkan pegawai yang rumah di atas tanah, bukan rumah flat dan rumah pangsapuri, sekurang-kurangnya memulakan tanaman yang hasilnya cepat seperti cili, terung dan kucai,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas hari ini.
Mohamad berkata, langkah itu mengambil inspirasi daripada pendekatan Kempen Buku Hijau yang pernah diperkenalkan pada era Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.
Ujarnya, inisiatif tersebut adalah sebagai langkah berjaga-jaga susulan ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah.
“Kita tidak tahu bila krisis antara Israel, Amerika Syarikat dan Iran akan berakhir. Sudah dua minggu berlalu dan masih tiada tanda ia akan berhenti.
“Kita berharap ia dapat diselesaikan dengan cepat supaya tiada perkara tidak diingini berlaku, terutamanya berkaitan kecukupan makanan,” katanya.
Sementara itu, beliau memberi jaminan bekalan makanan negara ketika ini mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei atau Jun 2026.
Katanya bekalan beras, ayam, telur, ikan, daging lembu, kerbau, susu segar, sayur dan buah-buahan masih berada pada tahap stabil.















Comments