top of page

Kawalan Garam, Asas Kesihatan: Program Hari Garam Sedunia Disambut Meriah di Kampung Piasau

  • nabalunews
  • 1 day ago
  • 2 min read

28 Mei 2025


KOTA BELUD: Program Hari Garam Sedunia yang berlangsung di Dataran Skyblue, Kampung Piasau semalam 27 Mei 2025, menggambarkan komitmen berterusan pelbagai pihak dalam meningkatkan kesedaran kesihatan masyarakat.


Program tersebut dianjurkan secara bersama oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Kesihatan Daerah Kota Belud, Komuniti Sihat Perkasa Negara (KOSPEN), dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Piasau.


Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Perpaduan Daerah Kota Belud, Loveverinus Dell Jailih, yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran program ini.

Dalam ucapan beliau, Loveverinus menjelaskan bahawa KKM melalui KOSPEN telah melaksanakan pelbagai inisiatif berasaskan komuniti dengan matlamat untuk memperkasakan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat. Pendekatan ini berfokus kepada pencegahan dan pengawalan faktor risiko Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), yang semakin meningkat dalam masyarakat hari ini.


Beliau turut menyatakan bahawa program seperti ini bukan sahaja bermanfaat dalam memberi pendedahan tentang kesihatan, tetapi juga memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan komuniti setempat. Tambah beliau, pihaknya akan terus memberikan sokongan padu kepada usaha sebegini demi kesejahteraan masyarakat di daerah Kota Belud.


Pelbagai pengisian program telah dijalankan, antaranya termasuk saringan kesihatan percuma oleh petugas KOSPEN, demonstrasi penyediaan makanan sihat, Program Vaksin Influenza untuk warga emas, serta aktiviti berkaitan kesihatan wanita. Program ini bukan sahaja menawarkan perkhidmatan kesihatan percuma, malah menyemai kesedaran berterusan terhadap kepentingan menjaga pemakanan.

Salah satu sesi utama yang mendapat perhatian ramai ialah ceramah bertajuk “Bahaya Penggunaan Garam Berlebihan” yang disampaikan oleh wakil Pegawai Sains Pemakanan dari Hospital Kota Belud. Ceramah ini menggariskan risiko kesihatan seperti tekanan darah tinggi, strok dan penyakit jantung yang berpunca daripada pengambilan garam secara berlebihan.


Penganjuran Hari Garam Sedunia ini membuktikan bahawa pendekatan bersepadu antara kerajaan dan komuniti mampu memberikan impak positif dalam meningkatkan literasi kesihatan masyarakat. Ia diharapkan dapat menjadi model rujukan bagi pelaksanaan program kesedaran kesihatan di masa akan datang.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page