Kawalan keselamatan di Jeti Awam Tawau diperkukuh, pemantauan berterusan dilaksana
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 1 min read

21 Julai 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah terus memperkukuh kawalan keselamatan dan pemantauan di Jeti Awam Tawau bagi memastikan pengoperasian pelabuhan berjalan lancar, selamat serta mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Jonnybone Kurum berkata, Jeti Awam Tawau merupakan kemudahan pelabuhan yang dikawal selia oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) mengikut Enakmen Pelabuhan dan Dermaga 2002 serta peraturan-peraturan di bawah enakmen tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Manahang Tanggilani, yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menempatkan pos kawalan tetap dan pegawai penguat kuasa di Jeti Awam Tawau susulan aktiviti memunggah pelbagai barangan tanpa kawalan yang didakwa semakin berleluasa.
Menurutnya, JPDS telah menempatkan kakitangan jabatan di jeti berkenaan bagi melaksanakan pemantauan secara berterusan terhadap aktiviti pengoperasian harian.
“Skop bidang kuasa dan kawalan meliputi kawalan keluar masuk penumpang dan kapal serta memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi dan aspek keselamatan di jeti,” katanya.
Beliau berkata, bagi kawalan terhadap barangan yang dipunggah dan dimuat di jeti, penempatan tetap anggota penguat kuasa turut dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pula menjalankan penguatkuasaan dari semasa ke semasa mengikut bidang kuasa masing-masing.











