Kawalan keselamatan Pantai Timur Sabah akan dipertingkatkanKawalan keselamatan Pantai Timur Sabah akan dipertingkatkan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kawalan keselamatan Pantai Timur Sabah akan dipertingkatkan



1 Nov 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai perancangan dan penambahbaikan bagi memperkasakan lagi kawalan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah bagi mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan meyakinkan para pelabur.


Timbalan Menteri Dalam Negeri II Jonathan Yasin berkata, ini termasuk penambahan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kudat dan Keningau serta perancangan membina pos kawalan di Manalunan, Kalabakan serta pembinaan operasi hadapan di Pulau Siamil, Semporna.


Beliau berkata, ia adalah sebahagian daripada tambahan untuk menjaga keselamatan di Sabah khususnya mencegah pendatang tanpa izin daripada memasuki Sabah serta meningkatkan keyakinan pelabur untuk kekal melabur di kawasan itu.


“Memang kerajaan ada perancangan untuk membuat beberapa lagi penambahbaikan namun ia masih dalam perancangan seperti pembinaan pos kawalan di Kinabatangan dan Kalabakan serta membina semula pos kawalan di Lahad Datu.


“Selain itu PGA di Kudat dan Keningau juga akan ditambah bagi manjaga keselamatan di Sabah seterusnya mencegah kemasukan pendatang asing tanpa izin,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mengenai langkah komprehensif yang akan diambil oleh kerajaan bagi mengelak pencerobohan sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terutama di kawasan pantai timur Sabah.


Jonathan berkata, KDN melalui Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) mengambil pendekatan menyeluruh menangani masalah pencerobohan pendatang tanpa izin dengan memastikan kesiagaan aset keselamatan berada pada tahap optimum selain mengukuhkan kawalan keselamatan secara bersepadu di bawah Op Benteng.


“Dalam tempoh 1 Mei tahun lepas hingga 29 Oktober lepas, seramai 813 PATI warga Filipina ditahan menerusi Op Benteng di Sabah,” katanya.


Sementara itu bagi menjawab soalan tambahan Datuk Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang bertanya sama ada perintah berkurung di kawasan perairan pantai timur Sabah masih berkuatkuasa, Jonathan berkata, beliau akan memberikan jawapan secara bertulis mengenai perkara itu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page