top of page

Kawalan mercun, bunga api demi keselamatan awam – KPN

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

17 Februari 2026


KUALA LUMPUR: Kawalan terhadap permainan mercun dan bunga api adalah adalah bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara serta keselamatan masyarakat sentiasa diutamakan khususnya sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina ini.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, pengawalan tersebut selaras dengan peruntukan Akta Bahan Letupan 1957, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.


Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi penguat kuasa utama bertanggungjawab mengawal aspek pengimportan, penjualan, penyimpanan dan permainan mercun serta bunga api mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.


"Pendekatan pengawalan yang dilaksanakan oleh PDRM merupakan usaha proaktif dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.


"Langkah ini juga untuk mengelakkan sebarang risiko kecederaan, kebakaran dan gangguan komuniti yang sering dikaitkan dengan pembakaran mercun secara tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mohd Khalid berkata, mercun dikategorikan sebagai bahan letupan di bawah Seksyen 2 Akta Bahan Letupan 1957 kerana mengandungi komponen yang boleh menghasilkan letupan, bunyi kuat, cahaya, asap atau gabungan kesan visual dan bunyi.


Menurutnya, menerusi Pemberitahuan Larangan Bahan Letupan 2025, sebanyak 45 jenis bunga api iaitu 'Pop-Pop' dan 'Happy Boom' dibenarkan untuk pemilikan serta pengimportan oleh Menteri.


Namun, katanya, kebenaran tersebut tertakluk kepada permit yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah berkaitan serta pematuhan kepada spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.


“Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang melanggar peruntukan undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 6, 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.


“Selain itu, kesalahan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak lebih satu bulan atau kedua-duanya,” ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat supaya bermain bunga api di kawasan lapang serta sentiasa mengamalkan langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.


Beliau turut menyeru masyarakat agar mematuhi prinsip kedaulatan undang-undang bagi memastikan perayaan Tahun Baharu Cina disambut secara harmoni dan selamat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page